UiTM Melaka anjur forum ‘Break The Silence’ himpun lebih 200 mahasiswa

Program anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) itu berjaya menghimpunkan lebih 200 mahasiswa.
MELAKA: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka mengambil langkah proaktif menyelami penderitaan penduduk Gaza dengan menganjurkan forum kemanusiaan bertajuk 'Break The Silence' untuk memupuk kesedaran terhadap krisis global,
Program anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) yang menghimpunkan lebih 200 mahasiswa itu menampilkan dua aktivis kemanusiaan, Musa Nuwairy dan Iylia Balqis.
Kedua-dua mereka berkongsi pengalaman menyantuni komuniti terkesan konflik, khususnya di Palestin yang kini berdepan cabaran hidup akibat penindasan berpanjangan.
Musa menceritakan pengalaman di lapangan yang menuntut ketahanan (sumud) dan keberanian, sambil menekankan bahawa penderitaan rakyat Gaza bukan sekadar isu politik, tetapi amanah moral yang perlu dipikul oleh masyarakat dunia.
“Setiap individu mempunyai tanggungjawab untuk bersuara dan bertindak. Diam bererti kita membiarkan penindasan terus berlaku,” katanya.
Iylia pula mengingatkan bahawa sikap berdiam diri hanya menguatkan kezaliman, dan generasi muda perlu berani menggunakan platform komunikasi untuk menyuarakan ketidakadilan yang menimpa penduduk Palestin.
Forum itu turut mengupas cabaran penyalahgunaan maklumat serta keperluan komunikasi bertanggungjawab bagi memastikan naratif kemanusiaan tidak diputarbelit atau dimanipulasi oleh pihak berkepentingan.
Penasihat program, Shafezah Abdul Wahab, berkata pendedahan seperti ini penting untuk memupuk empati dan menggalakkan mahasiswa memahami konteks sebenar krisis Gaza yang meragut ribuan nyawa.
“Kita mahu mahasiswa sedar bahawa membela kemanusiaan memerlukan suara, tindakan dan keberanian untuk memecahkan kebisuan. Inilah tujuan utama program ini,” katanya.
Beliau menambah bahawa komunikasi berkesan merupakan tunjang kepada gerakan masyarakat yang lebih peka dan bertanggungjawab dalam melawan penindasan.
Program Break The Silence diharap menjadi platform berkala bagi universiti awam dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja prihatin, tetapi turut memainkan peranan aktif dalam isu kemanusiaan sejagat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


