MALAYSIA

UiTMSAT-2 dilepaskan ke orbit dari ISS petang ini

Bernama 03/02/2026 | 15:15 MYT
Pembangunan UiTMSAT-2 sejak Februari 2021 dengan pembentukan model kejuruteraan di FKE UiTM melibatkan proses perolehan komponen, reka bentuk papan litar, integrasi subsistem dan pengujian fungsi. - Gambar Bernama
SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencipta sejarah apabila satelit NANO keduanya, UiTMSAT-2 berjaya dilepaskan ke orbit dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 6.52 petang waktu Malaysia hari ini.


Ringkasan AI
  • UiTM berjaya melancarkan satelit NANO kedua mereka, UiTMSAT-2, ke orbit dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 6.52 petang hari ini.
  • UiTMSAT-2 merupakan satelit nano jenis CubeSat 1U seberat 1.1 kilogram yang membawa misi kamera pemerhatian bumi dan misi sekunder Internet benda berasaskan angkasa.
  • Projek UiTMSAT-2 dibiayai oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan menunjukkan kemahiran tempatan serta kerjasama universiti-industri dalam menerjemahkan penyelidikan akademik kepada aplikasi teknologi sebenar.


Ketua projek Dr Fatimah Zaharah Ali berkata UiTMSAT-2 merupakan satelit nano jenis CubeSat 1U seberat 1.1 kilogram yang dilepaskan melalui modul Japanese Experiment Module (JEM) menggunakan mekanisme JEM Small Satellite Orbital Deployer (J-SSOD).

Beliau yang juga Pensyarah Fakulti Kejuteraan Elektrik (FKE) UiTM berkata projek UiTMSAT-2 membawa misi utama kamera pemerhatian bumi serta misi sekunder Internet benda berasaskan angkasa.

"Ia bertujuan untuk penghantaran data penderia dari kawasan terpencil yang tidak mempunyai rangkaian sambungan darat (bumi) dan menggunakan jalur frekuensi VHF-UHF radio amatur," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Tontonan Secara Langsung Pelepasan UiTMSAT-2 yang dipancarkan dari Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA) yang turut dihadiri Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM di sini hari ini.

Pada 26 Okt 2025, UiTM berjaya melancarkan UiTMSAT-2 ke ISS menerusi misi HTV-X1 menggunakan roket H3 F7 dari Pusat Angkasa Lepas Tanegashima, Jepun tepat 8 pagi waktu Malaysia (9 pagi waktu Jepun).

Fatimah Zaharah berkata projek satelit kecil itu akan beroperasi di kedudukan orbit rendah bumi pada ketinggian 380 hingga 400 kilometer dari bumi dan mengelilingi bumi sebanyak 16 kali dalam tempoh 24 jam.

Beliau berkata pembangunan UiTMSAT-2 sejak Februari 2021 dengan pembentukan model kejuruteraan di FKE UiTM melibatkan proses perolehan komponen, reka bentuk papan litar, integrasi subsistem dan pengujian fungsi.

Katanya ujian getaran dan keserasian elektromagnet (EMC) telah dilaksanakan di Malaysia, manakala pembangunan Flight Model (FM) diteruskan di Institut Teknologi Kyushu (Kyutech), Jepun pada 2024 hingga 2025, termasuk integrasi panel solar serta ujian persekitaran angkasa.

Projek UiTMSAT-2 diterajui oleh UiTM sebagai institusi utama dengan kolaborasi strategik bersama University of Perpetual Help System DALTA (Filipina), King Mongkut's University of Technology North Bangkok (Thailand) serta Kyutech sebagai penyokong teknikal.

Pembiayaan projek disumbang oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Dana International Collaboration Fund (ICF) sebanyak RM500,000 dan UiTM melalui Dana Perkongsian Penyelidikan Strategik (SRP) serta sumbangan kewangan rakan kolaborasi antarabangsa.

Kemudahan pembangunan satelit UiTM melibatkan Makmal Integrasi Satelit di FKE serta stesen bumi di Kompleks Kejuruteraan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di universiti itu, dilengkapi antena Yagi VHF/UHF, sistem rotator serta lesen operator amatur yang diperbaharui secara berkala.

Sementara itu, Shahrin dalam ucapan perasmian berkata pelepasan satelit nano itu membuktikan Malaysia khususnya UiTM, mampu dan bersedia bagi memainkan peranan yang lebih besar dalam landskap teknologi masa hadapan.

"UiTMSAT-2 turut mencerminkan kerjasama universiti-industri yang bermakna, dengan penyelidikan akademik diterjemahkan kepada aplikasi teknologi sebenar.

"UiTMSAT-2 bukan sekadar sebuah satelit nano. Ia adalah simbol keupayaan kepakaran tempatan, manifestasi keyakinan terhadap bakat anak Malaysia dan bukti bahawa universiti awam mampu menjadi pemacu teknologi strategik negara," katanya.

-- BERNAMA

#UiTMSAT-2 #MOSTI #kawasan terpencil #satelit kecil