[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Ujian bertulis SPM bermula lancar di seluruh negara, calon terjejas banjir dibantu

Bernama 25/11/2025 | 07:27 MYT
Calon SPM di SMK Syed Hussein, Arau menaiki lori untuk mengambil peperiksaan berikutan keadaan sekolah yang dinaiki air hari ini. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bermula hari ini mengikut jadual di seluruh negara termasuk lapan negeri yang sedang dilanda banjir selepas pelbagai langkah kesiapsiagaan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan seperti OPS Payung.

Secara keseluruhannya, sebanyak 413,372 calon mendaftar untuk menduduki SPM kali ini di 3,350 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Di PERLIS, sebanyak 393 calon dan lima pusat peperiksaan terjejas banjir hari ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hussein, SMK Agama (SMKA) Al-Maad; SMK Dato' Sheikh Ahmad, SMK Agama Arau dan SMK Raja Puan Muda Tengku Fauziah.

Pengarah Pendidikan Perlis Rose Aza Che Arifin berkata dua lori muatan lima tan milik Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri telah digerakkan untuk membawa kertas dan petugas peperiksaan serta calon SPM yang terjejas ke pusat peperiksaan.

Beliau berkata secara keseluruhannya, terdapat 3,754 calon SPM 2025 yang membabitkan 36 pusat peperiksaan di seluruh negeri.

Di KELANTAN, Pengarah Pendidikan negeri Siti Norina Muhamad berkata terdapat sebanyak 27,361 calon SPM di negeri itu, dengan 100 daripadanya adalah mangsa banjir.

Beliau berkata 56 calon dari Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Nurul Huda di Kajang Sebidang, Tumpat telah dipindahkan dan menumpang menduduki peperiksaan di SMKA Falahiah berikutan lokasi asal peperiksaan masih dinaiki air.

"Selain itu, 15 pelajar dari SMK Kutan di Tumpat terpaksa menumpang seketika di asrama SMK Mahmud Mahyidin sebelum dibawa menaiki trak tentera pagi ini untuk ke sekolah asal mereka manakala 29 lagi yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) telah dipindahkan ke asrama sekolah masing-masing dan berdekatan," katanya kepada pemberita selepas tinjauan di SMK Sultan Ismail, Kota Bharu.

Di PERAK, Pengarah Pendidikan negeri Zulkafli Mohamed Mokhtar berkata terdapat 167 calon SPM di negeri itu yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh daripada keseluruhan 31,704 calon.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 20 calon dari Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan, Pangkor terpaksa mengambil peperiksaan di pusat alternatif berikutan sekolah mereka disahkan tidak selamat akibat kejadian tanah runtuh.

Di SELANGOR, seramai 118 calon SPM terkesan banjir manakala 11 calon lagi terkesan akibat tanah runtuh, kata Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Mohd Azuan Mohd Nawawi ketika meninjau hari pertama peperiksaan bertulis SPM di SMK Seksyen 18, Shah Alam.

Beliau berkata tiga sekolah di negeri itu terkesan akibat banjir manakala tujuh lagi dijadikan PPS dan memaklumkan bahawa terdapat 75,489 calon menduduki SPM di 502 pusat peperiksaan seluruh Selangor.

Di KEDAH, sebanyak 90 calon terjejas banjir ditempatkan di asrama sekolah di Kubang Pasu, Kulim dan Bandar Baharu bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada menduduki peperiksaan, kata Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Abdul Rahim Mat.

Beliau berkata secara keseluruhannya, seramai 30,001 calon menduduki peperiksaan SPM di negeri itu manakala 79 pusat peperiksaan melibatkan 921 calon telah dikenal pasti sebagai sekolah berisiko banjir.

Di PULAU PINANG, Pengarah Pendidikan negeri Mohamad Dziaduddin Mat Saad memaklumkan hanya dua calon SPM yang terjejas banjir dan mereka ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Yooi dan akan diuruskan oleh guru untuk mengambil peperiksaan di SMK Pokok Sena.

Mohamad Dziaduddin berkata secara keseluruhannya, seramai 20,060 calon SPM berdaftar membabitkan 156 pusat peperiksaan di negeri itu.

Di TERENGGANU, Pengarah Pendidikan negeri Kamsah@Kamal Mohamed mengesahkan tiada pusat peperiksaan terjejas banjir setakat ini, dengan 19,595 calon SPM menduduki ujian bertulis di 175 pusat peperiksaan.

Di SARAWAK, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Omar Mahli juga memaklumkan tiada pusat peperiksaan yang terjejas akibat banjir dan sejumlah 36,843 calon SPM mengambil peperiksaan di 259 pusat peperiksaan di seluruh negeri itu.

Di PAHANG pula, Pengarah Pendidikan negeri Ahmad Zamri Md Isa memaklumkan seramai 21,048 calon SPM menduduki peperiksaan di 267 pusat di seluruh negeri membabitkan 5,426 petugas termasuk pengawas peperiksaan dalam kalangan sukarelawan.

Beliau berkata seramai 2,400 calon di seluruh negeri itu dikenal pasti berisiko terjejas banjir sepanjang tempoh peperiksaan berdasarkan rekod kawasan rumah dan laluan ke sekolah yang pernah dinaiki air sebelum ini, dan pihaknya bersedia turun padang untuk membantu.

Di NEGERI SEMBILAN, dua calon dewasa masing-masing berusia 60 tahun dan 57 tahun, adalah antara 17,354 calon SPM yang mengambil peperiksaan di 145 pusat.

Pengarah Pendidikan negeri Khalidah Omar berkata turut menarik perhatian ialah 42 pasangan kembar dan dua pasangan kembar tiga serta 64 calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK) di negeri itu menduduki peperiksaan kali ini.

Di JOHOR, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin memaklumkan tiada sekolah terjejas banjir manakala seramai 49,654 calon menduduki ujian bertulis SPM di 372 pusat peperiksaan.

Beliau berkata kerajaan negeri turut melaksanakan inisiatif pemberian makanan percuma kepada semua calon, dengan pengagihan diselaras melalui Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah bagi memastikan setiap pelajar menerima bantuan berkenaan.

Di MELAKA, seramai 13,358 calon SPM menduduki ujian bertulis di 100 pusat termasuk 83 calon CBPK manakala empat calon menduduki peperiksaan di hospital.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Megat Affandi Ismail pula berkata seramai 21,585 calon SPM menduduki peperiksaan bertulis di 165 pusat.

-- BERNAMA


#SPM 2025 #banjir 2025 #calon SPM #pusat peperiksaan