KUALA NERUS: Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) dijangka memulakan operasi selewat-lewatnya Disember tahun ini selepas mendapat kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Pengerusi Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Datuk Rosli Mat Hassan berkata pengambilan pertama melibatkan seramai 500 pelajar dari seluruh negara yang akan menjalani kursus berkaitan perdagangan, pengurusan koperasi dan keusahawanan daripada peringkat Diploma hingga Doktor Falsafah (PhD).

"Sedikit sahaja lagi (proses) sebelum kita dapat kelulusan daripada MQA. Insya-Allah pengambilan pertama dalam bulan November atau Disember.

"Pengambilan pertama melibatkan 500 pelajar, tetapi kita sasar untuk tambah dan dapatkan seramai 2,000 pelajar dalam tempoh tiga tahun," katanya selepas merasmikan cawangan baharu IKMa Kuala Terengganu di sini pada Khamis.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi Parlimen Kuala Nerus sebagai inisiatif program khidmat IKMa terhadap golongan usahawan di daerah itu.

Rosli berkata untuk permulaan, operasi universiti berkenaan akan berpusat di Petaling Jaya, Selangor sebelum dipindahkan ke kawasan Cyberjaya tidak lama lagi.

"Kita harap penubuhan universiti ini dapat melahirkan lebih ramai usahawan, pemimpin dan pelapis baharu yang lebih kompeten dan berwibawa dalam dunia koperasi," katanya.

Dalam pada itu, Rosli berkata kewujudan cawangan baharu IKMa di Kuala Terengganu itu akan memberi manfaat kepada hampir 250,000 ahli daripada lebih 800 koperasi di seluruh negeri.

Kata beliau, IKMa akan terus memberi bimbingan kepada koperasi untuk memantapkan lagi struktur organisasi secara tersusun dan berdaya saing.

"Terdapat lapan cawangan IKMa di seluruh negara dan kita akan buka empat lagi tahun ini iaitu di Kuala Terengganu (yang dirasmikan) hari ini, Ipoh, Miri dan Tawau sedikit masa lagi," katanya.

-- BERNAMA