BANGI: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyatakan komitmen untuk terus mewajibkan pelajar tahun akhir di peringkat prasiswazah dan pasca siswazah menulis tesis atau latihan ilmiah dalam bahasa Melayu kecuali kepada pelajar dari luar negara.

Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Mohd Ekhwan Toriman berkata, langkah tersebut sebagai salah satu usaha yang dilakukan universiti watan itu untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu.

Selari dengan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri, beliau menambah pelajar-pelajar asing atau dari universiti luar negara bagaimanapun diwajibkan menghadiri kursus bahasa Melayu.

"Saya yakin dengan beberapa unit yang diperuntukan untuk pelajar-pelajar antarabangsa ini mempelajari bahasa Melayu, sekurang-kurangnya mereka mendapat sedikit maklumat penguasaan ringkas bagaimana bertutur dalam bahasa Melayu.

BACA: Martabat bahasa Melayu: Draf pindaan Akta DBP siap, harap dibentang di Parlimen secepat mungkin

"Beberapa program mempertingkat fonologi dan sintaksis dalam linguistik bahasa Melayu juga diperkenal kepada pelajar-pelajar antarabangsa di bawah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Fakulti Pendidikan dan Pusat Citra UKM.

"Saya yakin bahawa inisiatif ini boleh membantu pelajar-pelajar antarabangsa menjadi duta apabila mereka habis (pengajian) dan balik ke negara masing-masing, mereka boleh menguasai sekurang-kurangnya asas penguasaan bahasa Melayu," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Kongres Antarabangsa Bahasa dan Tamadun Alam Melayu di UKM, di sini pada Rabu.

Sebelum ini, Perdana Menteri berkata kerajaan mewajibkan pelajar asing untuk mengambil subjek bahasa Melayu sebagai salah satu mata pelajaran mereka.

Langkah tersebut, menurut Ismail Sabri dibuat bagi memartabatkan bahasa Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Mohd Ekhwan berkata kongres julung kali dengan tema “Pemerkasaan Bahasa Dan Tamadun Alam Melayu” diadakan pada masa yang tepat berikutan isu bahasa, tamadun dan kebudayaan Melayu yang perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak berkepentingan.

Beliau menambah kongres tersebut adalah platform perkongsian pintar antara tokoh-tokoh ilmuan bahasa dengan masyarakat, mengupas serta mengembangkan konsep tamadun alam Melayu yang menjadi tonggak utama kepada pembentukan semangat kenegaraan Malaysia dalam seluruh aspek kehidupan.

"Seperti simposium yang kita laksanakan dan perbincangan meja bulat sebelum ini, InsyaAllah selepas ini kita akan adakan beberapa resolusi yang kita akan ajukan pertama, kepada pemegang taruh terutamanya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk diperhalusi dan bincangkan bagaimana kita nak laksanakan.

"Saya yakin resolusi ini selepas kita bincang dan perincikan, ia akan bawa seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi untuk mendapat maklum balas atau mandat daripada kerajaan untuk memastikan, dalam konteks ini, UKM sebagai salah satu peneraju dan pemerkasaan bahasa Melayu," ujarnya lagi.

Kongres dua hari yang bermula hari ini dijangka menghimpunkan seramai 60 peserta dari negara Thailand, Indonesia, Jerman serta Malaysia.