MALAYSIA

Ulama Kelantan seru kepimpinan PM Anwar dikekalkan demi kestabilan Islam, ekonomi

Astro Awani 20/07/2025 | 04:20 MYT
Syeikh Wazir ketika menyampaikan ceramah pada Program Malaysia Bermunajat 2025 yang turut dihadiri Perdana Menteri Anwar di Masjid Putra, Putrajaya, malam tadi. - Gambar Facebook JAKIM
PUTRAJAYA: Seorang ulama berpengaruh dari Kelantan menyuarakan harapan agar pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikekalkan demi menjamin kesinambungan pembangunan Islam dan kestabilan ekonomi negara.

Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki Hafizahullah berkata, perubahan kerajaan yang terlalu kerap sejak beberapa tahun kebelakangan ini bukan sahaja menggugat kestabilan ekonomi, malah turut memberi kesan kepada institusi pendidikan Islam seperti sekolah pondok.

“Kita di Malaysia ini, lima tahun satu kerajaan. Kadang-kadang dua tahun atau setahun pun bertukar kerajaan. Dasar yang sering berubah menyebabkan pondok pun jadi lemah dan malap. Ekonomi pun merosot. Ini bukan cara Islam,” katanya ketika menyampaikan ceramah dalam Program Malaysia Bermunajat 2025 yang berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya, malam tadi.

Beliau turut memberi amaran terhadap usaha segelintir pihak, terutamanya pembangkang, yang merancang untuk menjatuhkan Anwar melalui penganjuran perhimpunan besar-besaran pada 26 Julai ini di ibu negara.

Mengulas mengenai penganjuran program keagamaan malam tadi yang dihadiri ribuan jemaah, Syeikh Wazir menyifatkan kehadiran itu sebagai tanda sokongan jelas kepada kepimpinan kerajaan perpaduan yang dipimpin Anwar sejak hujung 2022.

“Insya-Allah, dengan doa dan munajat rakyat, semua rintangan serta cabaran yang dihadapi negara akan dapat diatasi. Kerajaan pimpinan Datuk Seri (Anwar) akan dapat dipertahankan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengimbas hubungan lama beliau dengan Anwar, termasuk jasa dan bantuan kewangan yang disalurkan ketika beliau menuntut dan menetap di Pakistan selama 13 tahun, khususnya bagi menyokong pelajar-pelajar ASEAN di sana.

Sementara itu, pembangkang mengumumkan rancangan menganjurkan Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai dengan sasaran kehadiran 300,000 peserta, jauh meningkat daripada sasaran awal 50,000 orang.

Mengulas perkara itu semalam, Anwar mencabar pihak pembangkang untuk mengemukakan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat sekiranya benar-benar berhasrat mengambil alih pentadbiran negara. Jika gagal, katanya, mereka perlu menunggu sehingga Pilihan Raya Umum akan datang.




#PM Anwar Ibrahim #Ulama Kelantan #kepimpinan Anwar #pembangunan islam #kestabilan ekonomi