Ultra Remote daripada Astro rangkul anugerah '2020 Red Dot Award'

40 juri antarabangsa sepakat memilih peranti itu kerana susun atur butang yang mesra pengguna malah disusun dengan baik sekali gus membolehkan pengguna mengendalikan alat kawalan jauh itu dengan lebih

Setakat ini, lebih daripada 100,000 pelanggan telah memasang Ultra Box. - Foto: Astro | Astro Awani
Inovasi menarik yang memudahkan pengguna membolehkan alat kawalan jauh Ultra ciptaan Astro memenangi 2020 Red Dot Award for Product Design dalam kategori TV and Home Entertainment.

40 juri antarabangsa sepakat memilih peranti itu kerana susun atur butang yang mesra pengguna malah disusun dengan baik sekali gus membolehkan pengguna mengendalikan alat kawalan jauh itu dengan lebih selesa.

Ultra merupakan peranti terbaru Astro, sebahagian daripada Ultra Box terbaharu yang mempunyai ciri-ciri termasuk 4K UHD, Cloud Recording dan paparan antara muka terkini yang membolehkan kandungan ditonton dengan lancar di pelbagai skrin.

Setakat ini, lebih daripada 100,000 pelanggan telah memasang Ultra Box.

Naib Presiden Kejuruteraan Produk Astro, Shahrul Imran Sultan berkata pihaknya gembira dengan kemenangan itu.

Menurutnya, reka bentuk inovatif alat kawalan jauh Ultra merupakan sebahagian daripada usaha Astro meningkatkan kualiti perkhidmatan selain memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pelanggan.

“Kami berbangga kerana alat kawalan jauh ini bukan saja direka dengan baik malah ia juga menggabungkan bentuk dan fungsi dengan cara yang sangat baik,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beberapa ciri yang dirancang untuk alat kawalan jauh itu pada masa depan ialah fungsi kawalan suara dan find-me function untuk memastikan peranti itu mudah ditemui.

Alat kawalan jauh itu direka oleh syarikat dari Austria, ruwido, eksklusif untuk Ultra Box yang menyerlahkan jenama dan reka bentuk Astro.