Skip to main content

Malaysia

UM bangunkan Residensi Siswa, tampung kediaman 40,000 mahasiswa

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menyempurnakan pelancaran Residensi Siswa UM di perkarangan Kolej Kediaman Kelima universiti itu. - Gambar Universiti Malaya
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menyempurnakan pelancaran Residensi Siswa UM di perkarangan Kolej Kediaman Kelima universiti itu. - Gambar Universiti Malaya

Advertisement

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) menerajui pembangunan Residensi Siswa yang dirancang menampung sehingga 40,000 mahasiswa menerusi dua fasa sebagai penyelesaian jangka panjang terhadap kekurangan penginapan universiti.

Naib Canselor UM, Datuk Seri Noor Azuan Abu Osman berkata, projek itu bertujuan meningkatkan akses kepada kediaman yang selesa dan selamat, sekali gus membantu meringankan beban mahasiswa agar mereka dapat memberikan tumpuan kepada pengajian.

“Kita tidak mahu lagi isu penginapan ini dilihat sebagai cabaran tahunan semata-mata, akan tetapi memerlukan penyelesaian yang lebih mampan.

“Jadi, untuk Universiti Malaya, projek ini bukan sekadar pembangunan fizikal atau penambahan bangunan baru. Ia merupakan pelaburan terhadap kesejahteraan mahasiswa.

“Itu sangat penting kerana mahasiswa sekarang ini mereka mahu hidup dalam kadar yang selesa supaya mereka mempunyai persekitaran kehidupan yang lebih selamat, kondusif dan yang paling penting adalah menyokong kecemerlangan akademik mereka,” katanya selepas majlis pelancaran Residensi Siswa UM di perkarangan Kolej Kediaman Kelima universiti itu, di sini, pada Khamis.

Image
RESIDENSI SISWA INSERT
Majlis itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Zambry Abd Kadir. -Kredit UM

Mengulas usaha merealisasikan pembangunan berkenaan, Noor Azuan berkata, UM telah membentangkan cadangan projek kepada pelbagai agensi selama lebih setahun bagi mendapatkan pandangan dan kelulusan.

Menurutnya, pertambahan kapasiti kediaman memerlukan perancangan teliti yang mengambil kira keperluan mahasiswa, kemampuan pembangunan serta kelestarian kemudahan untuk jangka panjang.

“Apa yang penting, UM tidak mahu hanya mengenal pasti masalah. Kita mahu menjadi sebahagian daripada penyelesaiannya. Residensi Siswa adalah antara usaha yang kita gerakkan dengan matlamat tersebut,” ujarnya.

Dari sudut kebajikan, beliau berkata, mahasiswa yang menyewa di luar kampus perlu menanggung kos sewaan, pengangkutan dan perbelanjaan lain, selain mengambil kira keselamatan serta perjalanan harian ke universiti.

Justeru, pertambahan kapasiti kediaman secara berperingkat diharap dapat memberikan lebih banyak pilihan penginapan yang bersesuaian dan mengurangkan sebahagian beban mereka.

“Kita mahu mahasiswa datang ke UM untuk menimba ilmu dan membina masa depan. Mereka sepatutnya dapat memberi tumpuan kepada pengajian, bukan sentiasa dibayangi kebimbangan tentang kos sewa, perjalanan atau keselamatan tempat tinggal,” tegasnya.

Mengenai pelaksanaan projek, Noor Azuan berkata, fasa pertama dirancang menempatkan 10,000 mahasiswa dengan sasaran asal siap pada 2030, manakala fasa kedua akan menyediakan kapasiti untuk 30,000 mahasiswa lagi.

Bagaimanapun, beliau berkata, Perdana Menteri mahu pembangunan itu disiapkan lebih awal, dengan usaha menyegerakannya turut melibatkan sokongan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

“Pihak universiti dan kerajaan sedang berusaha sedaya upaya untuk mempercepat penyiapan Residensi Siswa dengan bantuan GLIC, selaras dengan hasrat Perdana Menteri.

“Saya yakin GLIC mempunyai keupayaan kewangan untuk menyokong pembangunan ini dan kami akan terus berusaha memastikan projek dapat disiapkan secepat mungkin. Sasaran asal kami ialah menyiapkan projek pada 2030, namun Perdana Menteri mahu ia disiapkan lebih awal,” jelasnya.

Image
RESIDENSI SISWA INSERT
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni warga Universiti Malaya sempena majlis pelancaran Residensi Siswa UM. - Kredit UM

Secara keseluruhan, pembangunan itu melibatkan empat tapak seluas kira-kira 52.4 ekar dan dilaksanakan menerusi model Build, Lease, Transfer (BLT), tanpa suntikan kewangan awal daripada UM atau kerajaan.

Residensi berkenaan dirancang menawarkan empat kategori kediaman, iaitu Standard, Standard Premium, apartmen dan studio, dengan kemudahan penyaman udara bagi meningkatkan keselesaan penghuni.

Antara kemudahan sokongan yang dirancang ialah kafeteria, ruang santai mahasiswa, kedai serbaneka, dobi dan gimnasium bagi memenuhi keperluan harian serta menggalakkan interaksi sosial.

Pembangunan itu turut menerapkan konsep kehidupan berkomuniti yang menggabungkan fungsi kediaman dengan ruang interaksi dan aktiviti bersama bagi memperkaya pengalaman mahasiswa sepanjang pengajian.

Dalam pada itu, Noor Azuan berkata, pembangunan secara berfasa memerlukan masa, justeru UM akan terus meneliti keperluan penginapan, mengoptimumkan kemudahan sedia ada serta mengenal pasti langkah sokongan yang bersesuaian.

“Bagi saya, kejayaan sesebuah universiti bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik atau kedudukan ranking.

“Kejayaan sebenar juga terletak pada sejauh mana kita mengambil tanggungjawab untuk menjaga kesejahteraan mahasiswa dan menyediakan persekitaran terbaik untuk mereka membina masa depan,” tambahnya.

Must Watch Video

Advertisement