MALAYSIA

UM bantu polis kesan Nawal Shahirah

Astro Awani 01/02/2026 | 02:15 MYT
Nawal Shahirah Mohd Jamil, pelajar Tahun 3 Ijazah Ekonomi di Universiti Malaya yang dilaporkan hilang sejak Selasa. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) mengesahkan sedang bekerjasama rapat dengan pihak polis bagi membantu mengesan seorang pelajarnya yang dilaporkan hilang, susulan kes tersebut tular di media sosial dan media arus perdana.

"UM memandang serius perkara berkenaan dan telah mengambil langkah segera untuk berhubung dengan pihak berkuasa serta keluarga pelajar terbabit bagi menyalurkan bantuan dan sokongan sewajarnya.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih demi menghormati proses siasatan serta menjaga privasi semua pihak yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

UM memaklumkan bahawa sebarang perkembangan rasmi mengenai kes tersebut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, sambil berharap pelajar berkenaan dapat ditemui dengan selamat.

Menurut hebahan dalam media sosial, pelajar terbabit ialah Nawal Shahirah Mohd Jamil, 23, pelajar Tahun 3 Ijazah Ekonomi di UM yang dilaporkan tidak dapat dihubungi sejak meninggalkan tempat kediamannya di Ryan & Miho, Petaling Jaya pada Selasa malam 27 Januari lalu.

Peranti telefon bimbit dan iPad miliknya turut dilaporkan terakhir dikesan pada malam yang sama, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatannya.






#universiti malaya #pelajar UM hilang #Nawal Shahirah #polis