MALAYSIA

UM siasat dakwaan artikel akademik petik laman satira

Sinar Harian 12/11/2025 | 02:10 MYT
Mastura berkata, UM kekal komited dalam memupuk budaya penyelidikan yang bertanggungjawab dan memastikan kepercayaan terhadap komuniti akademiknya kekal terpelihara. - Foto hiasan
SHAH ALAM: Universiti Malaya (UM) sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan sebuah artikel dalam jurnal terbitannya telah memetik artikel di laman satira sebagai fakta.


Ringkasan AI
  • Universiti Malaya (UM) sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan artikel dalam Jurnal Al-Tamaddun memetik laman satira sebagai fakta.
  • Ketua Bahagian Media dan Kreatif, Pusat Komunikasi Korporat UM, Mastura Mohamad Yusoff, menyatakan bahawa semakan sedang dijalankan bagi memastikan integriti akademik universiti terpelihara.
  • Siasatan yang sedang dijalankan akan menentukan tindakan yang sesuai diambil, termasuk kemungkinan pembetulan atau penarikan artikel sekiranya pelanggaran etika disahkan berlaku.


Ketua Bahagian Media dan Kreatif, Pusat Komunikasi Korporat UM, Mastura Mohamad Yusoff berkata, pihaknya sedang melakukan semakan bagi meneliti keseluruhan proses editorial dan penerbitan yang terlibat dalam Jurnal Al-Tamaddun.

"Semakan itu bagi memastikan integriti akademik universiti terus terpelihara. UM telah memulakan semakan menyeluruh bagi meneliti perkara ini, termasuk proses editorial yang terlibat.

"Langkah ini sejajar dengan komitmen terhadap piawaian etika penyelidikan dan penerbitan yang tinggi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mastura berkata, UM kekal komited dalam memupuk budaya penyelidikan yang bertanggungjawab dan memastikan kepercayaan terhadap komuniti akademiknya kekal terpelihara.

Sebelum ini, seorang pengguna laman Reddit membangkitkan dalam sebuah kertas kajian pada 2018, pensyarah bahasa Arab Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Solehah Yaacob telah memetik laman satira, The Onion sebagai fakta.

Solehah memetik artikel di laman itu yang mendakwa kononnya sekumpulan ahli sejarah mendakwa mereka telah mereka-reka tentang 'Yunani purba', berikutan itu seorang ahli akademik supaya artikel akademik yang diterbitkan dalam Jurnal Al-Tamaddun pada 2018 ditarik balik.

Jurnal Al-Tamaddun merupakan jurnal berindeks yang diterbitkan dua kali setahun dan menumpukan kepada kajian sejarah, tamadun serta pemikiran Islam.

Mengulas lanjut, Mastura berkata, hasil siasatan akan menentukan tindakan yang sesuai diambil, termasuk kemungkinan pembetulan atau penarikan artikel sekiranya pelanggaran etika disahkan berlaku.

"Pihak universiti berhasrat memastikan setiap penerbitan di bawahnya memenuhi piawaian akademik tertinggi bagi menjaga kredibiliti institusi dan kepercayaan masyarakat terhadap penyelidikan yang dihasilkan," katanya.

https://www.sinarharian.com.my/article/756315/berita/nasional/um-siasat-dakwaan-artikel-akademik-petik-laman-satira


#universiti malaya #satira #Jurnal Al-Tamaddun #penyelidikan