Skip to main content

Malaysia

'Umar Nail stabil, cedera hati' - Rizalman

[TB]_Rizalman_Instagram Rizalman
Rizalman berkata Umar masih berada di bawah pemantauan rapi pasukan doktor. - Foto Instagram Rizalman
Advertisement

KUALA LUMPUR: Keadaan anak angkat pereka fesyen terkenal Datuk Rizalman Ibrahim, Umar Nail yang sebelum ini kritikal selepas dilanggar sebuah lori ais, kini dilaporkan stabil.

Rizalman berkata Umar masih berada di bawah pemantauan rapi pasukan doktor, selepas mengalami kecederaan pada hati. 

"Alhamdulillah, sehingga ke saat ini, keadaan Umar adalah stabil. Umar masih berada di bawah pemantauan rapi pasukan doktor, khususnya berkaitan kecederaan pada organ dalamannya, iaitu hati," katanya dalam kenyataan hari ini.

Rizalman menambah, beliau reda dengan ujian yang diberikan terhadap dirinya dan keluarga, serta menyerahkan segalanya kepada ketentuan Allah. 

"Sebagai seorang bapa, sudah tentu saya sentiasa mendoakan agar Umar diberikan kekuatan, dipermudahkan segala urusan rawatan dan dikurniakan kesembuhan oleh Allah S.W.T," ujarnya.

Dalam masa sama, Rizalman merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada keluarga, sahabat handai, pengikut serta pihak media yang prihatin dan mengambil berat mengenai keadaan Umar.

Beliau turut menghargai jasa petugas hospital termasuk doktor dan jururawat yang tekun memantau keadaan anak angkatnya itu.

"Setiap doa, kata-kata semangat dan harapan yang anda semua titipkan buat Umar menjadi kekuatan yang sangat besar buat kami sekeluarga dalam melalui detik yang penuh ujian ini," katanya.

Sehubungan itu, Rizalman memohon semua pihak terus mendoakan agar Umar diberikan kesembuhan, kekuatan serta dipermudahkan segala urusan.

Terdahulu, Rizalman berkongsi berita duka mengenai anak angkatnya itu, dilanggar sebuah lori ais di Wangsa Walk dalam kejadian pada Sabtu.

 

Must Watch Video

Advertisement