KLANG: Umat Islam di negeri Selangor diingatkan agar sentiasa mengelakkan perbalahan sesama sendiri meskipun terdapat perbezaan fahaman politik.

Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pilihan raya telah selesai, justeru semua pihak perlu kembali bersatu padu membangunkan semula negeri itu.

"Beta juga mengambil kesempatan di sini untuk menyeru kepada semua orang Melayu Islam di Selangor ini agar sentiasa mengelakkan perbalahan dan persengketaan sesama sendiri yang boleh membawa kepada perpecahan masyarakat melayu Islam dan membawa imej yang buruk kepada kesucian agama Islam.

"Beta perhatikan, politik telah banyak memecah-belahkan perpaduan kita sesama umat Islam dengan amalan fahaman politik sempit. Cukuplah apa yang telah berlaku. Kita perlu maju ke hadapan dan membawa perubahan kepada cara kita berpolitik dan berfikir," titah baginda.

Malah sensitiviti agama, kaum, bangsa dan keturunan titah baginda lagi, seharusnya dihormati semua lapisan masyarakat dan tidak perlu dijadikan pertikaian.

Sebaliknya, titah Sultan Sharafuddin, platform media sosial perlu digunakan untuk menyumbang kepada perpaduan masyarakat dan bukannya menyebarkan fitnah sehingga mewujudkan kebencian dalam kalangan masyarakat.

"Kini pilihan raya telah pun selesai, maka marilah kita bersama-sama mengeratkan semula hubungan tanpa mengira agama, kaum dan fahaman politik. Kita perlu kembali bersatu padu  membangunkan semula negara dan negeri Selangor khususnya.

"Hormatilah antara satu sama lain dengan tidak membesarkan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti sesuatu agama, kaum, bangsa atau keturunan yang boleh menggugat keharmonian.

"Gunakanlah platform media sosial dan semua aplikasi teknologi moden yang ada sekarang ini untuk perkara-perkara positif yang boleh menyumbang kepada perpaduan masyarakat dan bukannya untuk menyebarkan fitnah dan kebencian yang boleh menyebabkan perpecahan masyarakat," titah baginda lagi.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan menyempurnakan Istiadat Angkat Sumpah dan Ikrar Aku Janji Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Ahli Majlis Kerajaan Selangor (EXCO) di Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang pada Isnin.