Sambutan Maulidur Rasul kali kedua tahun ini disambut dengan semangat kesatuan dalam kalangan umat Islam selaras dengan tema tahun ini 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara'.

Sambutan peringkat nasional yang pertama kali diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang dekat sini turut dipenuhi acara bagi memperingati jasa dan perjuangan Rasulullah SAW.

Acara bermula dengan perarakan berserta selawat pada 8.15 pagi ini yang disertai 125 kontinjen pelbagai agensi kerajaan dan swasta, badan beruniform, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan serta pelajar dari institusi pengajian tinggi dan sekolah.

Seramai 11,000 umat Islam termasuk barisan kenamaan mengambil bahagian dalam perarakan sejauh 1.8 km bermula dari pintu masuk hadapan MAEPS sehingga ke Dewan A taman itu, dan diikuti dengan bacaan ayat suci al-Quran dan ceramah khas.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke majlis itu.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menteri-menteri kabinet, pegawai kanan kerajaan serta perwakilan luar negara.

Tuanku Abdul Halim dalam ucapannya pada majlis itu antara lain menekankan akan pentingnya aspek perpaduan yang sedia wujud di negara ini dipertahankan, kerana persefahaman dan perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat adalah tunjang kepada kemakmuran negara.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berangkat diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis hadir pada majlis sambutan Maulidur Rasul 1437H Peringkat Kebangsaan

Sementara itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh dipilih sebagai Tokoh Perdana Anugerah Maulidur Rasul 2015.


Di MELAKA, seramai 7,207 umat Islam mengambil bahagian dalam perarakan sempena Maulidur Rasul peringkat negeri yang bermula dari Stadium Hang Tuah ke Dataran Pusat Islam, Masjid Al-Azim di sini.

Walaupun hujan, ia tidak menghalang Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, isteri Datin Seri Fadilah Abdullah bersama umat Islam berarak sejauh kira-kira lima kilometer sambil berselawat memuji junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Perarakan itu disertai 119 kontinjen agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan dan persatuan, institusi pengajian tinggi dan sekolah.

Kakitangan Pejabat Tanah dan Galian Melaka tetap meneruskan perarakan walau cuaca hujan pada majlis Perarakan Maulidur Rasul 1437H/2015M hari ini.

Di Kota Bharu, Lebih 2,000 golongan belia Kelantan menyertai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Majlis Belia Kelantan (MBK) dengan kerjasama Masjid Muhammadi, Kota Bharu.

Belia lelaki yang berpakaian putih dan wanitanya berpakaian hitam berhimpun sejak 7.30 pagi, turut mendengar khutbah terakhir Nabi Muhammad SAW yang disampaikan Yang Dipertua Majlis Belia Kelantan Mohd Syahbuddin Hashim.

Sebahagian pelajar maahad tahfiz sekitar Kota Bharu turut menyertai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Majlis Belia Kelantan (MBK) di Masjid Muhammadi hari ini.

Malam tadi, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, diiringi Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra berangkat menghadiri sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid Ismaili, Pasir Pekan.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Baginda turut berkenan mendengar ceramah khas yang disampaikan Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam Universiti Malaya, Dr Faisal@Ahmad Faisal Abdul Hamid, dan majlis itu turut diserikan dengan acara berzanji dan berselawat yang dihadiri lebih 2,000 penduduk kawasan itu.

Di IPOH, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis sambutan Maulidur Rasul 1437 peringkat negeri Perak di Pusat Konvensyen Amanjaya di Meru.

Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.

Hadir sama pada majlis yang disertai kira-kira 5,000 orang adalah Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta isteri Datin Seri Saripah Zulkifli dan anggota exco kerajaan negeri.

Baginda turut berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Keluarga Mithali kepada Arip Sa'aya yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Sektor Pendidikan di Sarawak dan anugerah Pendakwah kepada Wan Masindra Juja yang merupakan pendakwah daripada masyarakat Orang Asli.

Keluarga bahagia Arip Saa'ya,61, berkongsi kegembiraan bersama isteri Farihah Osman,56, dan ibu mertuanya Khadijah Shuib,83, serta sebahagian anaknya selepas menerima Anugerah Tokoh Mithali pada Sambutan Maulidur Rasul 1437H peringkat Negeri Perak hari ini.

Di Sibu, Pemangku Yang di-Pertua Negeri Tan Sri Bujang Mohd Nor bersama kira-kira 6,694 masyarakat berbilang kaum dan agama daripada 103 kontinjen memeriahkan sambutan Perarakan Maulidul Rasul Peringkat Negeri Sarawak yang diadakan di Dataran Sibu hari ini.

Turut menyertai perarakan ialah tiga kontinjen bukan Islam termasuk satu kontinjen Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).

Semalam sambutan peringkat negeri bermula dengan solat Maghrib berjemaah, majlis bacaan surah Yasin, tahlil dan doa selamat di Masjid An-Nur, Sibu.

Di SIPITANG, Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, anggota Kabinet Negeri dan ketua-ketua jabatan menyertai perarakan Maulidur Rasul peringkat negeri.

Perarakan sejauh tiga kilometer yang disertai 62 kontinjen membabitkan penyertaan 10,000 umat Islam yang mewakili jabatan dan agensi kerajaan serta swasta, bermula dari padang Hospital Sipitang ke GATA Aquare.

Pada majlis itu, Juhar turut menyampaikan anugerah Maulidur Rasul kepada aktivis sosial Awang Suffian Awang Piut bagi kategori lelaki dan pesara kerajaan Datuk Halimah Nawab Khan bagi kategori wanita.

Kedua-dua mereka menerima wang tunai RM7,500 dan warkah penghargaan kerajaan negeri Sabah.

Pesara kerajaan Allahyarham Datuk Masood Salleh juga menerima Anugerah Khas Maulidur Rasul.

Di KUALA TERENGGANU, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Nur Zahirah berangkat menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Stadium negeri.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan isteri, Toh Puan Seri Halina Zakaria.

Perarakan sempena sambutan itu tidak dapat diadakan berikutan hujan lebat pagi tadi dan majlis sambutan berlangsung dengan pelbagai program termasuk ceramah yang disampaikan Ustaz Syed Norhisham Tuan Padang.

Di Shah Alam, lebih 2,000 umat Islam mengambil bahagian dalam perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul 1437 peringkat negeri itu yang bermula dari Stadium Mini Seksyen 13 ke Stadium Malawati.

Perarakan 1.8 kilometer yang turut disertai 92 kontinjen daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta serta pelajar sekolah itu berlangsung penuh ukhwah dengan acara berselawat memuji Nabi Muhammmad SAW.

Pada majlis sambutan di Stadium Malawati, sebanyak lima Anugerah Khas Maulidur Rasul disampaikan oleh Tengku Panglima Diraja Selangor Tengku Sulaiman Shah.

Timbalan Mufti Selangor Datuk Abdul Majid Omar menerima Anugerah Khas Umar Abdul Aziz yang membawa pulang wang tunai RM15,000, sijil penghargaan, piala iringan dan sepersalinan pakaian.

Bekas Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan pula menerima Anugerah Khas Khalid Al-Walid, penceramah bebas Dr Mohd Farid Ravi Abdullah (Anugerah Khas Imam Al-Ghazali) dan Prof Dr Che Muhaya Mohamad (Anugerah Khas Saidatina Khadijah).

Masing-masing membawa pulang wang tunai RM10,000, sijil penghargaan, piala iringan dan sepersalinan pakaian.

Anugerah Khas Saidina Ali pula diberikan kepada pelajar Sekolah Menengah Agama Maahad Hamidiah, Kajang, Jihad Muhamad Fuad yang menerima wang tunai RM5,000.

Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah (tengah) menyertai perarakan sambutan Maulidur Rasul 1437H/2015 peringkat negeri Selangor dari Stadium Mini Seksyen 13 ke Stadium Melawati sejauh 1.8 km, Khamis.

Di JOHOR BAHRU, seramai 5,000 umat Islam memeriahkan Sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah Johor Baharu dekat Pasir Gudang hari ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) Md Za'nal Misran berkata sambutan kali ini berbeza kerana ia diadakan secara bermuafakat bersama penduduk tempatan dengan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan.

Program anjuran MPPG dengan kerjasama Pejabat Kadi dan Pejabat Daerah turut menyaksikan 53 kontigen dari pelbagai agensi dan jabatan menyertai pertandingan perarakkan sambil berselawat.

Perarakan sejauh 1.9 kilometer yang bermula pada 7.45 pagi disertai 2,500 peserta berakhir di Masjid An Nur Pasir Gudang.

Majlis Bandaraya Johor Bahru muncul juara dalam kategori perarakan manakala Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang memenangi sepanduk terbaik dengan masing-masing menerima wang tunai RM400 serta plak.