Memiliki anak istimewa merupakan satu anugerah yang tidak ternilai daripada Allah SWT.

Walaupun terpaksa berdepan dengan sikap masyarakat yang skeptikal selain 'taboo' mengenai anak-anak istimewa ini, ibu bapa sanggup mengurung anak mereka di rumah tanpa memberi peluang untuk mereka bersosial seperti anak-anak normal lain.

Tambahan pula, senaman dan aktiviti rekreasi untuk anak-anak ini sangat jarang dilakukan.

Malah Program Pendidikan Khas yang diwujudkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia juga dilihat terhad pada waktu persekolahan sahaja.

Bagi ibu bapa yang ingin melihat perkembangan anak-anak, mereka menghadapi dilema kerana kekurangan ilmu pengetahuan untuk membantu kanak-kanak itu.

Sejajar dengan itu, Dr.Donnie Adams yang merupakan pensyarah di Institut Kepimpinan Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan satu program yang berteraskan senaman terapeutik untuk anak istimewa.

Dr. Donnie berkata, program ini dilaksanakan ekoran kekurangan senaman yang dipraktikkan oleh ibu bapa bersama anak-anak istimewa di rumah sehingga menyebabkan mereka berasa lemah dari segi fizikal malah ada yang mengalami obesiti kerana tidak melakukan aktiviti.

Sehubungan itu, dengan bantuan geran penyelidikan daripada Pusat Komuniti dan Kelestarian (UMCares) Universiti Malaya, satu seminar dan bengkel senaman terapeutik telah dijalankan pada bulan November dan Disember 2017.

"Program ini menyasarkan ibu bapa agar mendapat input yang lebih mendalam tentang jenis-jenis senaman terapeutik dan pengetahuan mengenai pendidikan khas yang sebenarnya," katanya ketika ditemui AWANI Rangers UM.

Beliau menambah, seminar dan sesi soal jawab bersama ibu bapa telah dijalankan terlebih dahulu bagi memberitahu spektrum pendidikan khas dan seterusnya bengkel 'hands-on' yang dikendalikan oleh pakar psikoterapi bersama ibu bapa dan anak-anak istimewa itu sendiri.

Dengan adanya bengkel ini, ibu bapa dapat mengenal pasti deria psikomotor anak istimewa mereka malah boleh terus mempraktikkannya.

Program tersebut telah dilaksanakan di beberapa buah sekolah sekitar Lembah Klang termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Damai, SK Satu Sultan Alam Shah, SK 11 Kota Damansara, SK Sri Kelana dan SK Damansara Jaya yang dihadiri lebih 80 anak istimewa bersama ibu bapa masing-masing.

Di akhir program ini, ibu bapa dibekalkan dengan pemberian buku oleh UMCares yang bertajuk 'Special Education Handbook of Therapeutic Exercises For Sensory Intergration'.

Buku tersebut mengandungi jenis-jenis senaman terapeutik berserta pautan Youtube bagi memudahkan para ibu bapa melakukan senaman itu bersama anak mereka di rumah.

Dr.Donnie berharap program senaman terapeutik itu mampu mencakna para ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa seterusnya membuka mata mereka bahawa murid pendidikan khas juga mempunyai tempat dan cara bagi meningkatkan semangat golongan itu untuk bermasyarakat.

_______________________________________________________________________________
*Laporan ini disediakan AWANI Rangers Universiti Malaya, Ayu Syafiqah Hassan.

*Awani Rangers ialah inisiatif Astro AWANI bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.

**AwaniRangers UM ialah inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan Universiti Malaya melalui UM Cares.