UMK latih lebih 1,000 peserta kuasai teknologi AI

UMK kini bergerak seiring dengan mengintegrasikan AI sebagai pemangkin utama untuk universiti terus kekal relevan, dinamik dan kompetitif dalam dunia berteraskan teknologi. - Gambar UMK
KOTA BHARU: Lebih 1,000 peserta termasuk pelajar, staf universiti dan profesional industri dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah dilatih untuk menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI).
Naib Canselor UMK Datuk Prof Dr Arham Abdullah berkata UMK kini bergerak seiring dengan mengintegrasikan AI sebagai pemangkin utama untuk universiti terus kekal relevan, dinamik dan kompetitif dalam dunia berteraskan teknologi.
Beliau berkata sebagai sokongan dalam pelaksanaan teknologi AI, UMK telah melancarkan empat inisiatif strategik dalam memperkukuh ekosistem dan transformasi digital akademik universiti.
"Inisiatif berkenaan membabitkan Academic Analytics Dashboard TNCAA merupakan platform pintar berasaskan data yang mengintegrasikan maklumat akademik UMK secara menyeluruh termasuk staf akademik, pentadbiran serta pelajar."Inisiatif lain termasuk pengenalan platform Micro Credential 2.0 membabitkan pakej pembelajaran berasaskan bidang profesional, selain Modul Penasihat Akademik serta Modul Penyeliaan Pascasiswazah bagi memperkukuh kompetensi penyelia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Arham berkata melalui kesepaduan antara kebijaksanaan insan dan kepintaran mesin, UMK sedang meneroka horizon baharu pendidikan yang lebih inklusif, inovatif dan berdaya saing.
Beliau berkata UMK tidak hanya menjadi pengguna pasif teknologi malah telah melangkah ke hadapan sebagai pemangkin perubahan melalui penubuhan Institute for Artificial Intelligence and Big Data.
"Melalui institusi ini, UMK menggerakkan pelbagai program penyelidikan, pembangunan dan latihan dalam bidang AI, pembelajaran mesin dan pembelajaran mendalam," katanya.
Beliau berkata dengan adanya platform digital berasaskan AI, pelajar boleh mengakses bahan pembelajaran secara dalam talian dengan cepat dan mudah untuk mencari solusi dan bimbingan melalui chatbot pintar tanpa batas masa serta lokasi.
"Kaedah ini mampu meningkatkan keberkesanan pembelajaran kendiri dan memperluas akses kepada pendidikan lebih inklusif termasuk menyesuaikan strategi pengajaran agar lebih berkesan, menarik dan berimpak tinggi.
"Dengan adanya penguasaan terhadap teknologi ini UMK bertekad membentuk generasi baharu yang bukan sahaja berilmu dan berdaya saing, tetapi juga memiliki jiwa kreatif, nilai kemanusiaan dan kebijaksanaan teknologi dalam menghadapi era Revolusi Industri 5.0," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami