KUALA LUMPUR: UMNO menuntut Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur daripada jawatan Perdana Menteri, namun menegaskan tidak akan menyokong usaha menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri baharu.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata desakan terhadap Muhyiddin dibuat kerana beliau didakwa gagal memenuhi mandat sebulat suara perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) dan tujuh aspirasi rakyat yang digariskan.

Susulan itu, beliau berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat keputusan bahawa tempoh memberikan sokongan kepada Perdana Menteri ditarik balik dan ditamatkan serta-merta.

Beliau berkata, MKT juga kekal dengan pendirian yang diputuskan pada PAU2020 untuk tidak sesekali menyokong usaha mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri ataupun kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-PH (DAP-PH Lead Government).


[TERKINI] Sidang media Presiden UMNO

BACA: UMNO tarik balik sokongan terhadap Muhyiddin serta-merta - Zahid Hamidi

"Tempoh memberikan sokongan kepada Tan Sri Mahiadin (Muhyiddin) Yassin ditarik balik dan ditamatkan serta-merta. Justeru, UMNO mendesak Tan Sri Mahiadin (Muhyiddin) dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk satu tempoh yang terhad," katanya dalam satu sidang media secara maya selepas Mesyuarat MKT UMNO pada malam Rabu.

Katanya, setelah diperhalusi, segala panduan utama yang digariskan UMNO sebagai syarat meneruskan sokongan terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin gagal dipenuhi dan dilaksanakan dengan memuaskan. 

Ujarnya, tempoh Perdana Menteri yang baharu kelak akan hanya menumpukan kepada usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik.

"Setelah berjaya mencapai imunisasi berkelompok, Perdana Menteri baharu mesti segera menasihati Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk diadakan PRU15.

"Ini penting bagi membolehkan sebuah kerajaan yang benar-benar stabil dan memperoleh mandat majoriti rakyat diwujudkan sebagaimana terhasrat dalam titah Yang di-Pertuan Agong," tambah beliau lagi.