KUALA LUMPUR: UMNO menghargai kecaknaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengambil kira segala isu dan pendirian parti yang dipersembahkan kepada baginda sejak 11 Jun lalu.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata pandangan yang dikemukakan untuk menyegerakan persidangan Parlimen jelas menzahirkan kebijaksanaan dan keprihatinan Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Melayu.

Beliau dalam satu kenyataan memaklumkan, parti itu juga mendukung dan memandang serius saranan Seri Paduka Baginda akan keperluan mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh.

“Ini jelas menzahirkan kebijaksanaan dan keprihatinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Melayu terhadap segala keresahan dan kegelisahan rakyat terhadap pelbagai krisis yang sedang melanda negara ketika ini.

“Saya amat menghargai kecaknaan Seri Paduka Baginda yang mengambil kira segala isu dan pendirian parti yang dipersembahkan ketika sesi menghadap pada 11 Jun lalu,” jelas Zahid.

Kata Zahid, ketika menghadap baginda pada 11 Jun lalu, beliau menekankan bahawa Parlimen harus dibenarkan berperanan sebagai platform rasmi menyuarakan pelbagai suara hati rakyat yang kesempitan.

“(Antaranya) seperti tuntutan moratorium automatik secara pukal, kawalan harga barang, i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0 dan pelbagai bantuan khas kepada rakyat sekali gus memulihkan semula ekonomi negara.

“UMNO juga turut mempersembahkan pendirian berkenaan dengan keperluan untuk darurat tidak diteruskan selepas 1 Ogos 2021 kerana kemudaratannya lebih besar kepada negara, sedangkan tanpa darurat kerajaan masih boleh menguruskan isu-isu berkaitan pandemik COVID-19,” tegasnya.

Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, UMNO merafak setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih tidak terhingga kepada Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Melayu yang sentiasa menjadi sandaran dan payung tempat rakyat berteduh.

BACA: Parlimen perlu bersidang secepat mungkin - Agong 

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda bertitah, ini bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dapat dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat.

Jelas Ahmad Fadil lagi, Al-Sultan Abdullah amat menyedari tentang peranan Parlimen sebagai satu paltform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan isu khususnya berkaitan penularan wabak COVID-19.