UMNO Kepala Batas sokong Ismail Sabri jadi PM sehingga 2023

Fareez Azman
Disember 18, 2021 06:35 MYT
UMNO Bahagian Kepala Batas menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memegang jawatan Perdana Menteri sehingga 2023. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: UMNO Bahagian Kepala Batas memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk terus memegang jawatan Perdana Menteri sehingga 2023.
Ketetapan itu diambil dalam persidangan perwakilan bahagian berkenaan yang berlangsung pada Sabtu.
"Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas ambil ketetapan berikut, terus mendukung dan menyokong Institusi Presiden UMNO bersama Majlis Kerja Tertinggi UMNO demi memperkasakan parti dalam persiapan menuju Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.
"Komited untuk terus memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Datuk Seri Ismail Sabri untuk terus mentadbir negara dan rakyat Malaysia sebagai Perdana Menteri yang ke-9 berteraskan Aspirasi Keluarga Malaysia yang telah membuahkan keyakinan pemulihan buat negara sehingga ke akhir Penggal Parlimen ke-14 yang berakhir pada tahun 2023," kata UMNO bahagian berkenaan dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Dalam pada itu, UMNO Bahagian Kepala Batas turut akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong atas pelantikan Perdana Menteri serta menyambut baik segala tindakan Ismail Sabri membawa negara keluar daripada krisis pandemik COVID-19.
#ismail sabri yaakob #Perdana Menteri #UMNO Bahagian Kepala Batas #PRU15