UMNO Pulau Pinang akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam masa terdekat berhubung cadangan menjadikan Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada Wilayah Persekutuan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata pihaknya mahu mendengar dan meneliti terlebih dahulu pandangan serta cadangan sebenar Tengku Adnan berhubung perkara berkenaan.

"Selepas perbincangan itu baru kami akan adakan pertemuan dengan parti komponen Barisan Nasional bagi memberi penjelasan seterusnya memaklumkan kepada rakyat sebelum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang di sini, hari ini.

BACA: Pulau Pinang tolak idea dijadikan Wilayah Persekutuan

Dalam temu bual dengan stesen radio berteraskan kandungan perniagaan, BFM pada 1 Feb, Tengku Adnan berkata beliau mahu perluaskan Wilayah Persekutuan untuk memasukkan Pulau Pinang, Langkawi, Kedah dan sebahagian Melaka.

Negeri-negeri berkenaan akan terletak di bawah pentadbiran Putrajaya secara langsung dan Tengku Adnan mendakwa dengan pembabitan kerajaan persekutuan, negeri terbabit akan mendapat lebih peruntukan dan lebih perhatian.

Ketika ini di bawah Wilayah Persekutuan ialah Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada 2 Feb lepas dilaporkan berkata beliau tidak bersetuju dengan cadangan itu dan mendakwa kenyataan Tengku Adnan adalah berunsur hasutan kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.


Dalam pada itu, Zainal Abidin menasihati rakyat Pulau Pinang agar tidak terpengaruh dengan isu itu sehingga menimbulkan kebencian kepada kerajaan pusat kerana setakat ini ia baru cadangan serta perlu diperhalusi terlebih dahulu.

"Kalaupun ia dipersetujui oleh kerajaan Pusat, ia perlu mendapatkan kebenaran kerajaan negeri malah keputusan itu melibatkan perlembagaan serta undang-undang negara. Bukan boleh dibuat dalam masa sehari," katanya. -- Bernama