Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Umrah: SOP baharu perlu demi tambah baik keperluan kesihatan semasa

Madiha Abdullah 31/01/2022 | 21:13 MYT
SOP yang dikemas kini ini wajar demi menambah baik keperluan kesihatan semasa. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan persatuan dan agensi berkaitan, bagi memperhalusi prosedur operasi standard (SOP), terma serta permasalahan yang dihadapi, seterusnya mencari jalan penyelesaian sebelum perjalanan mengerjakan umrah kembali dibuka 8 Feb depan.

Setiausaha Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Roslan Mohammad berkata, SOP yang dikemas kini ini wajar demi menambah baik keperluan kesihatan semasa.

"Yang sedia ada sudah dibentangkan dan diluluskan lama, bulan September atau Oktober tahun lepas. Selepas itu banyak perkembangan baharu, liputan vaksin pun sudah hampir 100 peratus malah ramai yang sudah dapat booster.

"Dengan ada perkembangan baharu, ini membolehkan kita tambah baik SOP sedia ada.

"Contohnya kita cadangkan jemaah ditemani, dari mula dia terbang sehinggalah selamat pulang, oleh person in charge (PIC) bagi membantu urusan supaya mereka tidak terlepas mana-mana langkah dan perjalanan mereka lebih lancar," katanya.

Bagi Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia, Harun KC Ahmmu pula, masih ada SOP lain yang perlu ditambah baik terutama membabitkan insurans dan kuarantin wajib para jemaah.

"Sememangnya bagi pengendali umrah, kita tidak mahu perjalanan umrah dihentikan atau ditangguhkan lagi melainkan kalau sebab yang kritikal. Tetapi sebab kritikal itu sepatutnya bukan lagi isu kerana semua jemaah sudah divaksin.

"Wajarlah dibuka kembali, tetapi cuma dari segi konteks SOP, masih ada yang perlu dibincangkan dan diteliti semula. Ini termasuklah kuarantin wajib. Kalau dapat kuarantin wajib di rumah bagi yang negatif, ini mengurangkan sedikit beban kos yang mereka perlu tanggung sendiri," kata Harun.

Mereka berdua menjadi tetamu program Agenda AWANI, yang bersiaran pada Isnin.

Kerajaan membuat keputusan membenarkan umat Islam kembali mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Februari ini selepas penangguhan sementara yang berkuat kuasa 8 Januari lalu berikutan penularan jangkitan Omicron.


Agenda AWANI: Buka semula umrah, kemas kini SOP




#umrah #vaksin #SOP #COVID-19