Skip to main content

Malaysia

UMT lakar pelbagai pencapaian, kukuh kedudukan di peringkat antarabangsa

Suriyani (tengah) beramah mesra bersama Julia El Myra (dua kiri), Cindy Lim (kiri) dan penerima Anugerah Khas Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Nur Hanis Afiqah Adnan (kanan) dan Muhammad Afham Saipulismi (dua kanan) pada Istiadat Konvokesyen Ke-24 UMT di Dewan Sultan Mizan, hari ini. - Gambar Bernama
Suriyani (tengah) beramah mesra bersama Julia El Myra (dua kiri), Cindy Lim (kiri) dan penerima Anugerah Khas Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Nur Hanis Afiqah Adnan (kanan) dan Muhammad Afham Saipulismi (dua kanan) pada Istiadat Konvokesyen Ke-24 UMT di Dewan Sultan Mizan, hari ini. - Gambar Bernama

Advertisement

KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh kedudukan dalam landskap pendidikan tinggi antarabangsa dengan melakar pelbagai pencapaian dalam sistem penarafan dunia.

Naib Canselor UMT Prof Dr Suriyani Muhamad berkata universiti itu berada dalam kelompok 800-1000 universiti terbaik dunia melalui sistem penarafan Times Higher Education World University Rankings 2027 dan kelompok 201-300 terbaik dunia dalam THE Impact Rankings 2026.

Beliau berkata UMT turut melonjak ke tangga 177 sebagai kampus hijau dalam UI GreenMetric World University Rankings 2026, hasil daripada pelbagai inisiatif yang dilaksanakan, termasuk penggunaan tenaga boleh diperbaharui, pemasangan solar di bangunan universiti, penggunaan kenderaan elektrik dan sistem penuaian air hujan di kolej kediaman.  

“Tahun ini menyaksikan UMT terus memperkukuh kedudukan dalam landskap pendidikan tinggi antarabangsa. Pencapaian UMT dalam pelbagai sistem penarafan dunia adalah manifestasi kepada peningkatan kualiti akademik, penyelidikan, reputasi antarabangsa, jaringan industri dan impak universiti kepada masyarakat.

“Lebih membanggakan, kekuatan tradisi UMT dalam bidang marin terus mendapat pengiktirafan antarabangsa. Dalam bidang biologi marin dan air tawar, UMT menyerlah pada kedudukan pertama di Malaysia, tempat ke-21 Asia dan ke-90 terbaik dunia secara keseluruhan,” katanya ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen ke-24 UMT di Dewan Sultan Mizan di sini hari ini.

Suriyani berkata UMT memperkenalkan beberapa program baharu bermula sesi 2026/2027 dalam usaha membentuk program pengajian yang selari dengan keperluan pekerjaan dan cabaran masa hadapan seperti Ijazah Sarjana Muda Psikologi dengan Pengurusan Maritim (Kepujian), Ijazah Sarjana Muda Sains Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dengan Teknologi Persekitaran dengan Kepujian, Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Pengkomputeran Awan) dengan Kepujian dan Sarjana Sains dalam Analitik Data.

Beliau berkata universiti juga memperkukuh penawaran kursus secara Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL) melalui kaedah pembelajaran dalam talian yang merangkumi empat program, iaitu Ijazah Sarjana Forensik Alam Sekitar, Ijazah Sarjana Sains Akuakultur, Ijazah Sarjana Pengurusan (Zon Pantai Bersepadu) dan Ijazah Sarjana Sains dalam Analitik Data.

“Bagi memperluas jangkauan pengantarabangsaan, UMT memperkenalkan program Edu-tourism yang berasaskan pendidikan dan pengalaman budaya, yang kini semakin mendapat perhatian dunia.

“Program ini telah menarik ribuan peserta dari pelbagai negara termasuk United Kingdom, Jepun, Belgium, Maldives, China dan Singapura, sekali gus memperlihatkan potensi Terengganu sebagai destinasi pendidikan yang mampu menawarkan pengalaman ilmu dalam suasana unik dan berciri tersendiri.

“Lebih membanggakan, program berkenaan menjana pendapatan melebihi RM200,000 pada tahun ini. Secara tidak langsung, ia menunjukkan universiti bukan sahaja berperanan sebagai pusat ilmu tetapi mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan pengembangan industri pelancongan,” katanya.

Selain itu, Suriyani berkata UMT juga mencatat kadar penyertaan program mobiliti paling tinggi dalam kalangan universiti awam di Malaysia, iaitu melibatkan lebih 172 program ke pelbagai destinasi termasuk benua Asia, Eropah dan Afrika.

Beliau berkata pengalaman merentas sempadan bukan sahaja memperkaya pengetahuan dan pengalaman akademik mahasiswa, malah membuka ruang untuk mereka memahami pelbagai budaya, membina jaringan antarabangsa serta mengembangkan perspektif sebagai warga dunia.

Menurut Suriyani, UMT mencatat sejarah tersendiri pada tahun ini apabila menerima 2,885 pelajar baharu ke program Sarjana Muda Sesi 2026/2027, iaitu jumlah tertinggi dalam rekod pengambilan universiti.

“Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap UMT sebagai institusi pengajian tinggi, malah memperlihatkan daya tarikan Terengganu sebagai negeri paling bahagia serta sebagai destinasi ilmu yang kondusif dan sejahtera.

“Kecemerlangan akademik perlu disokong oleh ekosistem universiti yang kondusif dan prasarana berkualiti. Justeru, pembangunan Kampus Bukit Kor, Marang bakal membuka lembaran baharu kepada perkembangan universiti. Ia dirancang sebagai sebuah ekosistem baharu bagi penyelidikan, inovasi dan kerjasama strategik,” katanya.

Suriyani berkata memasuki Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), UMT turut memberi perhatian kepada beberapa pembangunan strategik, termasuk Pusat Selaman UMT di Pulau Bidong dekat Kuala Nerus, Makmal Bergerak dan Kompleks Teaching Shipyard TVET Marine, selain pembangunan infrastruktur hijau yang menyokong konsep kampus sebagai makmal hidup.

Di samping itu, UMT turut melaksanakan program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI bagi menyalurkan kepakaran warga universiti terus kepada komuniti.

“Ilmu yang kita hasilkan mesti kembali kepada masyarakat. Pelaksanaan program ini boleh membantu masyarakat melalui pendidikan, teknologi, pemuliharaan alam sekitar, pembangunan sosioekonomi dan pemindahan ilmu.

“Menerusi peruntukan RM1 juta, program ini telah dilaksanakan di Kampung Menerong, Ajil, Hulu Terengganu. Program seumpama ini juga dijalankan di Pulau Pangkor, Perak dan Kota Tinggi, Johor,” katanya.

Majlis konvokesyen yang berlangsung selama empat hari itu menyaksikan sebanyak 2,829 graduan menerima ijazah Doktor Falsafah (PhD) Sarjana, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma masing-masing.

Pada majlis sidang pertama hari ini, dua pelajar iaitu Julia El Myra Johan dari Fakulti Pengajian Maritim dan Cindy Lim Hui Ling dari Fakulti Sains Perikanan dan Akuakultur menerima Anugerah Pelajaran Diraja manakala S. Thimuniswaran dari Fakulti Sains dan Sekitaran Marin pula dianugerahkan Pingat Emas Canselor.

Konvokesyen tahun ini turut diadakan bersempena sambutan Jubli Perak penubuhan UMT yang bertemakan “25 Tahun UMT: Menerajui Agenda Ekonomi Biru Negara”, selain UMT menyediakan 42 kerusi alumni bagi setiap sidang.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement