Kerajaan akan terlebih dahulu melibat dan mendidik pihak umum mengenai pembangunan tenaga nuklear sebelum membuat keputusan mengenainya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri.

"Sementara nuklear mungkin boleh dianggap sebagai tenaga pilihan atau keperluan dalam jangka masa panjang, terdapat keprihatinan orang awam yang perlu ditangani menerusi maklumat dan komunikasi," katanya.

Beliau berkata berdasarkan kajian umum yang dilakukan bagi Perbadanan Tenaga Nuklear Malaysia (MNPC) pada 2014, kira-kira dua per tiga responden yang mahu mempertimbangkan pro dan kontra sebelum keputusan tenaga nuklear dibuat.

Pada masa sama, Nancy berkata dua per tiga responden turut menjangka tenaga nuklear bakal menyumbang kepada bekalan elektrik Malaysia dalam tempoh 10 hingga 20 tahun daripada sekarang, walaupun mereka menempatkan tenaga nuklear sebagai pilihan terakhir.

Walaupun pendapat umum dilakukan hampir dua tahun lalu, keputusannya mungkin menunjukkan paradoks umum penglibatan awam mengenai tenaga nuklear di Malaysia dan selebihnya di dunia, katanya.

Merasmikan Reviu Infrastrutur Nuklear Bersepadu (INIR) Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di sini hari ini, Nancy berkata kajian semula mengenai kesiapsiagaan Malaysia merupakan asas kepada pertimbangan objektif lebih mendalam mengenai tenaga nuklear berdasarkan fakta sah dan penilaian bebas.

Reviu INIR apabila siap akan dibentangkan kepada Kabinet bagi menentukan hala tujunya, katanya.

Pasukan INIR yang meliputi 12 pakar antarabangsa akan mengkaji semula isu yang dikenal pasti dalam penerbitan IAEA, 'Milestones in the Introduction of a Nuclear Power Programme' mulai hari ini hingga 17 Okt.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MNPC, Dr Mohd Zamzam Jaafar berkata kerajaan belum membuat keputusan mengenai kegunaan di masa depan tenaga nuklear bagi generasi elektrik.

"Tetapi MNPC komited untuk menyelaras keputusan yang bertanggungjawab dan bermaklumat lengkap mengenai tenaga nuklear oleh kerajaan," katanya. -Bernama