KUALA LUMPUR: Setiap Ahli Parlimen mempunyai tanggungjawab untuk memastikan perundangan negara sentiasa mengutamakan kepentingan kanak-kanak dan kekal responsif terhadap cabaran baharu yang muncul, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Beliau berkata, isu berkaitan perlindungan kanak-kanak, akses kepada pendidikan, dokumentasi, keselamatan digital dan keterangkuman sosial memerlukan perhatian berterusan bagi memastikan kanak-kanak dilindungi serta mendapat sokongan yang sewajarnya.
Johari berkata, usaha memperkukuh hak dan kebajikan kanak-kanak bukan sahaja memerlukan perundangan yang berkesan malah komitmen berterusan serta kerjasama rentas semua peringkat kerajaan dan masyarakat.
“Melindungi kanak-kanak merupakan tanggungjawab bersama. Ia tidak boleh dipikul oleh satu kementerian, satu agensi atau satu peringkat kerajaan semata-mata.
“Ia memerlukan penyelarasan rentas institusi, kerjasama antara pihak berkuasa Persekutuan dan negeri serta kerjasama yang bermakna dengan masyarakat awam, komuniti dan keluarga. Paling penting, ia memerlukan iltizam politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Simposium Reformasi Perundangan bagi Hak Kanak-Kanak yang berlangsung di bangunan Parlimen, di sini, pada Selasa.
Simposium tersebut menghimpunkan Ahli Parlimen, pembuat dasar, pakar perundangan, pengamal undang-undang dan pejuang hak kanak-kanak dari Malaysia serta luar negara bagi membincangkan pembaharuan berkaitan hak dan kebajikan kanak-kanak.
-- BERNAMA