KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan membenarkan usul dikemukakan seorang lelaki berusia 35 tahun yang didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada 21 Ogos 2019 atas tuduhan cuba melakukan seks luar tabii.

Keputusan itu sekali gus mengetepikan mengetepikan undang-undang Syariah negeri Selangor yang menetapkan seks di luar tabii sebagai jenayah.

Panel sembilan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara memutuskan penetapan seks luar tabii sebagai jenayah di bawah Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan dan tidak sah.

Menurut Tengku Maimun, Seksyen 28 belum secara sah digubal oleh badan perundangan negeri Selangor, dan undang-undang mengenai perkara yang dibahas dalam seksyen berkenaan hanya boleh digubal melalui Parlimen.

Dalam ringkasan penghakiman yang diedarkan kepada media, Tengku Maimun berkata, hanya Parlimen yang mempunyai kuasa eksekutif untuk menggubal undang-undang menetapkan seks luar tabii sebagai jenayah.

Lelaki itu kini menghadapi kes berkaitan yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor, di mana dia didakwa di bawah peruntukan tersebut dengan tuduhan cubaan melakukan hubungan seks di luar tabii

Mengikut Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau tidak lebih enam sebatan, atau dengan mana-mana kombinasi hukuman.

Kesalahan sama mengikut Seksyen 377B Dan 377C Kanun Keseksaan pula boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.



Keputusan | Mahkamah Persekutuan mengenepikan undang-undang Syariah Selangor