Undang-undang sedia ada sudah cukup tegas - Anthony Loke

Sinar Harian
September 23, 2023 16:18 MYT
Anthony memakaikan topi keledar kepada seorang kanak-kanak sambil diperhatikan bapanya (kanan). -Foto Sinar Harian
NILAI: Kementerian Pengangkutan (MOT) menafikan dakwaan yang mengatakan peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya di negara ini tidak tegas dalam mengambil tindakan terutama isu membabitkan pemandu lori.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penguatkuasaan sememangnya berjalan sepanjang masa, malah ada yang telah pun diambil tindakan sehingga diheret ke mahkamah.
"Undang-undang kita yang sedia ada cukup tegas bukan saja bawah Akta Pengangkutan Jalan tapi juga Akta Pengangkutan Awam Darat.
"Mereka bukan saja boleh didenda sehingga RM500,000 jika didapati bersalah, malah boleh dipenjarakan serta dilucutkan hak kenderaan," katanya ditemui pemberita selepas melawat Program Kerjaya@MOT di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan), Tan Sri Lee Lam Thye yang meminta kerajaan mengambil pendekatan tegas mendisiplinkan sikap pemandu lori kurang berhemah susulan kemalangan yang menyebabkan dua kematian di Putrajaya baru-baru ini.
Anthony juga mengakui bukan mudah untuk kerajaan menyelesaikan isu melibatkan pemandu lori, namun pemantauan secara berterusan dilakukan.
Ujarnya, pihaknya juga memahami kebimbangan orang ramai terhadap kemalangan yang berlaku, namun tidak sepatutnya mereka secara semberono mengatakan kerajaan tidak tegas dalam isu itu.
"Apa yang kita (MOT) tak tegas? Orang kata kita tak tegas dan pada masa sama pengusaha lori marah kita kerana terlalu tegas.
"Kita sampai menyita lori dan membatalkan lesen mereka. Itu memang tegas. Kadang kala orang ramai tak faham apabila semberono mengatakan JPJ tak ambil tindakan tegas," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan secara menyeluruh bagi menyelesaikan isu rungutan dalam kalangan pengusaha lori berhubung penguatkuasaan dan tindakan tegas yang diambil terhadap mereka.
Tambahnya, penguatkuasaan yang dijalankan bertujuan memberi mesej kepada semua pihak terutama pengusaha supaya mematuhi peraturan jalan raya
"Kita mahu ada pendekatan yang lebih menyeluruh untuk pastikan ada keseimbangan daripada segi keperluan industri dan keselamatan jalan raya. Itu yang sedang kita rencana dan bincang untuk atasi masalah ini.
“Pada masa yang sama, penguatkuasaan memang berterusan. Saya akan berbincang dengan JPJ untuk melihat bagaimana kita boleh buat penguatkuasaan yang lebih efektif," katanya.
Sementara itu, pada program berkenaan sebanyak 800 topi keledar baharu diberi secara percuma kepada orang ramai yang hadir untuk program Tukar Topi Keledar. -Sinar Harian
#Anthony Loke #undang-undang keselamatan jalan raya #pemandu lori #Akta Pengangkutan Jalan
;