KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata kerajaan komited Undi18 akan tetap dilaksanakan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ini susulan kenyataan dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa pelaksanaan Undi18 sedang diusahakan agar dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

"KBS akan terus melaksanakan program serta penglibatan berterusan bersama anak muda bagi merealisasikan Undi18.

"Saya juga akan terus memberikan komitmen dalam memastikan soal perluasan lantai demokrasi, menjadi kesepakatan yang telah dicapai antara Kerajaan dan anak muda.

"Ketetapan ini juga merupakan hasil perbincangan serta pandangan-pandangan balas yang dikemukakan oleh Ahli Jemaah Menteri yang sentiasa menyokong bagi memastikan pindaan Perlembagaan yang dibuat pada 2019 akan dapat dilaksanakan seperti mana dihasratkan," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Terdahulu, kerajaan memberi jaminan pelaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun sedang diusahakan agar ia dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan, perkara itu dibincang dan disahkan dalam Mesyuarat Kabinet semalam (28 April).

BACA: Kerajaan akan laksana Undi 18 dalam masa terdekat - Takiyuddin

Mengulas lanjut, Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata, Undi 18 merupakan asas sebuah negara demokrasi dan ia dipersetujui hampir keseluruhan Ahli Dewan Rakyat ketika diluluskan.

"Itu keputusan bipartisan yang monumental. Oleh itu, selaku Menteri KBS yang turut menyokong pindaan Perlembagaan sebagai blok pembangkang pada ketika itu, sudah semestinya saya ingin melihat ia terlaksana seperti mana jajaran masa yang ditetapkan.

"Dalam pelbagai libat urus saya dengan kumpulan belia, ia merupakan antara topik perbincangan yang sering diutarakan.

"Penguatkuasaan kelayakan umur mengundi 18 tahun ini kelak akan memberi hak asasi warganegara kepada lebih 1.2 juta belia berumur 18 hingga 20 tahun. Sebagaimana mereka bertanggung jawab kepada undang-undang, kita harus memberikan hak mereka sama-rata," ujarnya.