Silat kini diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai warisan budaya tidak ketara kemanusiaan (intangible cultural heritage in humanity) milik negara ini.

Seni bela diri tradisional itu menyertai warisan negara yang lain seperti persembahan mak yong dan dondang sayang yang diiktiraf masing-masing telah diiktriaf sebelum ini pada 2008 dan 2018.

Pengiktirafan itu hasil daripada persidangan mesyuarat jawatankuasa di Bogota, Colombia dihadiri oleh 24 ahli terdiri daripada negara-negara anggota yang dipilih untuk tempoh enam tahun.

“Penyenaraian di peringkat UNESCO merupakan pengiktirafan bertaraf dunia ke atas salah satu khazanah warisan negara bagi warisan kebudayaan tidak ketara,” umum Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

“Penyenaraian ini juga akan memperlihatkan komitmen Malaysia dalam melindungi warisan dunia dan secara tidak langsung akan mendapat perhatian pelbagai pihak dan dunia,” menurut kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia melalui Jabatan Warisan Negara (JWN) telah mewartakan silat dalam kategori seni mempertahankan diri sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2009 selaras dengan Seksyen 67 (2), Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 654).

“Pengiktirafan ini sekaligus akan mengukuhkan hubungan jaringan dengan kebanyakan negara anggota yang secara langsung akan membantu memudahkan Malaysia mengangkat lebih banyak pencalonan warisan kebudayaan tidak ketara pada masa akan datang,” menurut kenyataan tersebut.

Pada masa sama, seni bela diri ‘pencak silat’ dari Indonesia turut diiktiraf pada sesi persidangan ke-14 UNESCO tahun ini yang menyenaraikan 40 jenis warisan budaya tidak ketara secara keseluruhan.

Manakala urut tradisional Nuad Thai dari Thailand dan pembikinan karpet tradisional di Turkmenistan turut tersenarai oleh UNESCO sebagai warisan budaya.