MALAYSIA

UNGA ke-80: Malaysia bawa mesej reformasi PBB, ulangi komitmen terhadap Palestin

Bernama 25/09/2025 | 03:50 MYT
Datuk Dr Ahmad Faisal Muhamad, Wakil Tetap Malaysia ke PBB. - Foto media sosial
NEW YORK: Malaysia akan membangkitkan mengenai keberkesanan sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menggesa pembaharuan dan mengulangi sokongan terhadap Palestin dalam Kenyataan Negara pada Sesi ke-80 Perhimpunan Agung PBB (UNGA 2025) di New York.

Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datuk Dr Ahmad Faisal Muhamad berkata Kenyataan Negara itu akan disampaikan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan pada sesi Debat Umum pada 5 petang, Sabtu waktu tempatan (5 pagi waktu Malaysia).

"Kenyataan Negara dijangka menegaskan beberapa perkara penting termasuk penilaian terhadap penubuhan PBB, tujuan, kejayaan dan kelemahannya, keperluan pembaharuan, masa depan PBB serta peranan pelbagai hala.

"Ia juga akan menegaskan sokongan Malaysia berhubung isu Palestin, khususnya konflik yang berlaku di Gaza, mengetengahkan kebimbangan negara Selatan Global dan isu pembangunan yang menjadi fokus utama Malaysia selaku Pengerusi ASEAN," katanya kepada pemberita di pejabat Misi Tetap Malaysia ke PBB pada Rabu.

Beliau berkata Perhimpunan Agung tahun ini amat signifikan kerana PBB menyambut ulang tahun ke-80 dalam suasana perpecahan global yang semakin mendalam, ketegangan memuncak serta ancaman wujud terhadap planet seperti perubahan iklim.

"Kita difahamkan pemimpin yang berucap semalam dan hari ini, kebanyakannya menyentuh berkaitan ulang tahun ke-80 PBB, menilai sejauh mana ia telah memenuhi jangkaan pemimpin yang telah menubuhkan organisasi itu 80 tahun lalu serta hala tuju organisasi itu.

"Saya percaya ini juga merupakan mesej utama yang akan disampaikan oleh Menteri Luar kita dalam ucapan beliau (Kenyataan Negara)," katanya.

Ahmad Faisal berkata Mohamad turut dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala bagi mengukuhkan hubungan serta membincangkan isu kepentingan bersama.

"Ia termasuk mesyuarat ke-15 Group of Friends on Mediation serta Mesyuarat Peringkat Menteri bagi menyokong Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), mesyuarat penyelarasan tahunan Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Beliau juga dijadual bertemu Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.

"Kita juga telah mengesahkan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Slovenia, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Uganda, Thailand dan Jordan," katanya.

UNGA 2025 bertemakan Better Together: 80 Years and More for Peace, Development and Human Rights.

-- BERNAMA








#UNGA #Ahmad Faisal Muhamad #Palestin #PBB