[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

UNGA: Malaysia tegaskan sokongan tidak berbelah bahagi kepada perjuangan rakyat Palestin

Astro Awani 12/09/2025 | 22:10 MYT
Resolusi Perhimpunan Agung PBB mengenai Deklarasi New York telah diterima pakai dengan sokongan majoriti besar Negara Anggota PBB dengan 142 undi. REUTERS
PUTRAJAYA : Malaysia pada Jumaat mengundi menyokong Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) mengenai Deklarasi New York.

Ia sebagai tanda solidariti bersama Palestin dan sokongan masyarakat antarabangsa terhadap usaha merealisasikan penyelesaian dua negara dan mengiktiraf Negara Palestin,

Resolusi tersebut telah diterima pakai dengan sokongan majoriti besar Negara Anggota PBB dengan 142 undi.

"Komitmen kolektif dan penerimaan masyarakat antarabangsa ke atas penyelesaian dua negara dan pengiktirafan Negara Palestin merupakan langkah penting ke arah menamatkan pendudukan haram Israel dan jenayah keganasan rejim Zionis Israel.

"Ini telah mendorong Malaysia untuk membuat keputusan untuk menyokong Resolusi ini," kata Kementerian Luar Malaysia atau Wisma Putra dalam satu kenyataan awal pagi ini.

Menurut Wisma Putra, dalam Kenyataan Negara selepas proses pengundian, Malaysia menegaskan bahawa penyelesaian dua negara dan pengiktirafan Negara Palestin perlu direalisasikan tanpa sebarang pra-syarat, berdasarkan persempadanan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.

"Malaysia menegaskan bahawa kedaulatan dan keutuhan wilayah Palestin, dan hak pulang ke tanah air bagi jutaan pelarian Palestin, yang terjamin di bawah undang-undang antarabangsa, mesti dijadikan sebahagian daripada penyelesaian isu ini," tambahnya.

Wisma Putra berkata, Malaysia menggesa supaya kelemahan dan kekurangan Deklarasi New York ditangani sepenuhnya melalui langkah-langkah konkrit dan penetapan pelan tindakan yang melindungi dan memelihara kebebasan dan hak kenegaraan rakyat Palestin.

Malaysia juga mahu memastikan kehendak dan aspirasi rakyat Palestin dihormati, keselamatan Palestin dijamin dan akauntabiliti dikenakan ke atas Israel bagi pencabulan undang-undang antarabangsa, jenayah genosid, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

"Malaysia menegaskan bahawa deklarasi ini perlu membuka jalan untuk menamatkan peperangan dan kekejaman rejim Zionis Israel ke atas Gaza dengan serta merta, dan bencana kemanusiaan di Wilayah Palestin, dalam mencapai keamanan yang berkekalan di rantau Timur Tengah," tegas Wisma Putra.







#Malaysia #Perhimpunan Agung PBB #deklarasi new york #Palestin