MALAYSIA
Unifi Business bakal lancar program 'Impak Biz', bantu PMKS ukur digitalisasi
Unifi Business - Rakan Digital Pilihan PMKS menyediakan penilaian pendigitalan kepada para usahawan PMKS untuk terus kembangkan perniagaan. - Astro AWANI
KOTA BHARU: Unifi Business rakan media Astro AWANI akan melancarkan satu program yang dinamakan "Impak Biz" pada Julai depan kepada pemain Perusahaan Mikro Kecil Sederhana, (PMKS) bagi mengukur tahap digitalisasi perniagaan mereka.
Menurut Ketua Pegawai Komersial Strategi Pengguna dan Perniagaan Unifi, Shanti Jusnita Johari, program tersebut disusun selepas Unifi Business mendapati PMKS telah menggunakan solusi digital dalam menyelesaikan masalah pemasaran mereka sejak beberapa tahun kebelakangan.
"Pada bulan Julai nanti insya-Allah, kami akan melancarkan satu program yang dinamakan "Impak Biz". Kami nampak semenjak beberapa tahun lepas, PMKS sudah mula menggunakan solusi digital pemasaran dan sebagainya.
"Tapi soalan yang selalu ditanyakan pelanggan – 'apa lagi perlu saya buat untuk memajukan bisnes saya bagi mendapatkan lebih pelanggan dan keuntungan?'
"Dengan ini kami fikir, kami perlukan satu penilaian yang dapat diambil oleh usahawan-usahawan di Malaysia ini untuk mengetahui tahap digitalisasi perniagaan mereka" katanya selepas majlis pelancaran Hari PMKS 2025 di Pasar Besar Siti Khadijah, di sini semalam.
Tambah Shanti lagi, Unifi Business berkolaborasi bersama beberapa rakan strategik dalam Program Impak Biz bagi membantu melancarkan lagi perjalanan perlaksanaan program berkenaan antaranya MDEC, SME Corp, Maybank, BSN dan CTOS. Manakala Astro Awani merupakan rakan media untuk Program Impak Biz.
Sementara itu mengulas mengenai Hari PMKS, Shanti memaklumkan Hari PMKS sudah memasuki tahun ke-empat pada tahun ini.
Katanya Unifi Business akan berada di Pantai Timur bagi meraikan Hari PMKS untuk membantu lebih 80 ribu usahawan mikro di Pantai Timur. Jelajah bermula di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu pada 23 Jun, seterusnya 12 Julai di Bazar Serambi Teruntum, Kuantan, dan akan berakhir di Pasar Payang di Kuala Terengganu pada 16 Julai.
"Untuk sambutan Hari PMKS ini, kami akan mengadakan peraduan istimewa, di mana usahawan yang menyertai peraduan ini boleh memenangi Leadership and Entrepreneurship Acceleration Programme (LEAP) di Universiti Oxford dan kesemua perbelanjaan ditanggung oleh Unifi Business selama enam hari.
"Ini adalah peluang keemasan untuk PMKS, kerana peluang untuk belajar dengan tokoh perniagaan terkemuka di Universiti Oxford adalah sesuatu yang tidak harus dilepaskan," tambahnya.
Shanti berkata, bagi promosi terkini Unifi Business, pihaknya menawarkan pelbagai perkhidmatan daripada jalur lebar kepada mudah alih serta solusi digital.
"Sempena Hari PMKS kami ada pakej pemasaran digital dan juga aplikasi 'Go Bookit' iaitu aplikasi pengurusan janji temu bagi PMKS dalam sektor perkhidmatan atau 'Service Sector'. Ini merupakan produk terbaru Unifi Business, yang mana perlu dicuba oleh PMKS," jelasnya.
Terdahulu Shanti ditemui pada majlis Hari PMKS Kelantan yang berlangsung di Pasar Siti Khadijah.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan, dan Keusahawanan, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman.