TASHKENT, UZBEKISTAN: Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) mencatat satu lagi pencapaian penting dalam agenda penyelidikannya apabila penarafan Malaysian Research Assessment (MyRA) meningkat daripada dua bintang pada 2024 kepada tiga bintang bagi 2025.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, peningkatan tersebut mencerminkan pengukuhan ekosistem penyelidikan UniSIRAJ yang semakin produktif, berdaya saing dan berimpak.
Menurut baginda, pencapaian itu didorong oleh usaha berterusan universiti dalam memperkukuh penerbitan ilmiah, melaksanakan penyelidikan berimpak tinggi, memperkasa inovasi serta mengembangkan kolaborasi strategik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Pencapaian tiga bintang MyRA ini bukan sekadar peningkatan satu tahap penarafan, malah menjadi petunjuk bahawa pelbagai inisiatif strategik yang dilaksanakan UniSIRAJ telah mula diterjemahkan kepada peningkatan kapasiti dan prestasi penyelidikan universiti,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika berkenan menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UniSIRAJ dan Islamic Civilization Center (ICCU) di pusat berkenaan di sini, pada Selasa.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta puteri baginda, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Hadir sama, Duta Besar Malaysia ke Republik Uzbekistan, Rafedah Abdul Aziz.
MoU berkenaan ditandatangani oleh Naib Canselor UniSIRAJ, Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle, manakala ICCU diwakili Pengarahnya, Dr Firdavs Abdukhalikov.
Baginda bertitah, perkembangan tersebut turut disokong oleh pencapaian penerbitan jurnal berindeks yang melepasi sasaran, peningkatan penyertaan dan kejayaan dalam bidang inovasi, pengukuhan jaringan kerjasama serta pelaksanaan projek penyelidikan bernilai tinggi.
Dalam pada itu, Raja Muda Perlis bertitah, pengukuhan kerjasama strategik seperti tersebut amat penting dalam memperluas jaringan akademik dan penyelidikan UniSIRAJ di peringkat antarabangsa, khususnya menerusi perkongsian kepakaran, pengetahuan serta sumber penyelidikan.
Titah baginda, kerjasama itu juga selari dengan aspirasi UniSIRAJ, yang dimiliki Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), untuk terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi Islam yang progresif dan berdaya saing.
Pencapaian tiga bintang MyRA tersebut sekali gus memperlihatkan momentum transformasi UniSIRAJ ke arah pembentukan budaya penyelidikan yang lebih kukuh, kolaboratif, produktif dan berteraskan kecemerlangan akademik.