KUALA TERENGGANU: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi universiti awam pertama di Malaysia yang menawarkan Kursus Kor Kadet Mahasiswa Sukarelawan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Kor SUAR) kepada pelajarnya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata cadangan untuk menawarkan kursus berkredit kadet SPRM di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) adalah idea berani yang dikemukakan oleh pihak UniSZA kepada SPRM.

"Penawaran kursus ini telah melengkapkan inisiatif pencegahan rasuah di peringkat IPT. Sebelum ini, telah wujud kelab bersifat kesukarelawan untuk pelajar iaitu Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) yang menggerakkan aktiviti pendidikan antirasuah di dalam kampus.

"Kini, diwujudkan pula kelab beruniform yang menawarkan kredit sebagai pelengkap syarat pengijazahan mahasiswa dan UniSZA menjadi universiti perintis pertama di Malaysia yang menawarkan kursus ini kepada pelajar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Penubuhan Kor SUAR itu adalah antara bidang kerjasama memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai oleh UniSZA dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini lewat petang semalam.

MoU tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor UniSZA (Yang Menjalankan Fungsi) Prof Dr Fadzli Adam dan Pendaftar Ismail Musa mewakili UniSZA manakala SPRM diwakili Azam serta Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Datuk Razim Mohd Noor.

Azam berkata mahasiswa yang telah mendaftar untuk mengikuti kursus itu diharap agar berfikiran positif, berjiwa kental dan meneruskan perjuangan sehingga hari pentauliahan kelak.

"Mahasiswa yang berjaya menamatkan sesi hingga ke semester empat akan ditauliahkan sebagai Pegawai Integriti Remaja Bertauliah dan ini juga adalah nilai tambah kepada mereka apabila keluar untuk bersaing dalam mendapatkan pekerjaan nanti," katanya.

Pada majlis itu juga, telah berlangsung penganugerahan pemakaian pangkat kehormat dan penyerahan watikah pelantikan yang julung kali diberikan kepada ahli akademik di peringkat universiti.

Selain itu, turut diadakan pemakaian epaulet (tanda pangkat di bahu) kepada kadet sukarelawan mahasiswa antirasuah SPRM ambilan pertama UniSZA.

-- BERNAMA