Kaedah pemantauan menggunakan bot dan anjing pengesan digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat remaja lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong di sini.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali berkata operasi SAR dimulakan semula pada 2 petang selepas dihentikan akibat hujan lebat hampir dua jam di kawasan itu.

Katanya dua anjing pengesan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor dan bot Angkatan Pertahanan Awam digunakan dalam operasi ini.

"Pasukan penyelamat akan meletakkan anjing di dalam bot dan membuat pencarian di sekitar kawasan lombong bagi mengesan mangsa.

"Kami juga akan membuat pencarian di kawasan tebing di lombong itu," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Polis sebelum ini menggunakan khidmat pasukan Penyelam Polis Marin untuk mengesan mangsa pagi tadi namun masih gagal.

"Kami akan cuba mengesan mangsa dengan menggunakan pelbagai cara yang boleh.

"Ini merupakan kes ketiga di kawasan lombong untuk tahun ini, sebelum ini dua lelaki tempatan dilaporkan lemas di lokasi sama," katanya.

Semalam, operasi SAR Mohd Ilham Fahmi Mohd Azzam bertukar tragedi apabila enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air ( PPDA) lemas ketika menjalankan SAR.

-- BERNAMA