Unit intipan dan risikan KDN sentiasa pantau aktiviti intipan - Zahid

Astro Awani
November 28, 2013 09:35 MYT
Kementerian Dalam Negeri (KDN) sentiasa menggerakkan unit intipan dan risikan khasnya sebagai usaha menangani sebarang intipan dari mana-mana pihak luar terhadap negara ini.
Unit berkenaan antara langkah yang dilakukan sebagai benteng menangkis sebarang ancaman termasuk intipan pihak luar yang cuba memanipulasi maklumat serta rahsia negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya mempunyai kawalan dan ciri-ciri keselamatan atau firewall dalam menangani intipan tetapi intipan masih dapat dilakukan dengan pelbagai kaedah lain termasuk melalui satelit.
Justeru negara-negara kuasa besar diminta supaya sentiasa menghormati negara-negara lain dan kerahsiaan masing-masing.
Intipan terhadap sesebuah negara tidak dapat diterima oleh mana-mana kerajaan dan ia juga tidak boleh dikompromi.
“Kita ada counter measure yang digunakan bagi menangani halangan dan menjadi firewall kepada intipan ini diteruskan tetapi negara berkenaan mempunyai alat yang lebih canggih untuk counter kepada intipan berkenaan dalam perkara ini saya tekankan (negara terbabit) perlu menghormati kedaulatan negara lain, saya tidak mahu superiority negara itu menekan negara lain.”
Zahid ditemui selepas perasmian sekolah agama Tarbiyah Husnul Khatimah yang disempurnakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Penjara Kluang, Johor hari ini.
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan dokumen rahsia yang dibocorkan oleh pemberi maklumat Amerika Syarikat, Edward Snowden mendedahkan bahawa Singapura membantu kumpulan perisikan yang didakwa terbabit dalam aktiviti mengintip di Malaysia.
Rentetan itu, Malaysia kini sedang menyiasat secara menyeluruh mengenai dakwaan itu termasuk berhubung pembabitan Singapura dalam kegiatan mengintip Malaysia.
Kuala Lumpur turut memanggil Pesuruhjaya Tinggi Singapura, pada Selasa untuk mendapat penjelasan.
#risikan #Singapura #Zahid Hamidi