NATIONAL
Unitar sahkan pensyarah Haslina Abdullah selamat
Abdul Rahman memaklumkan pihak universiti telah berjaya menghubungi pensyarah wanita itu. - Gambar www.unitar.my
KUALA LUMPUR: Unitar University Kolej Kuala Lumpur (UUCKL) mengesahkan seorang pensyarahnya yang hilang telah dapat dikesan dan berada dalam keadaan selamat.
Naib Canselornya, Profesor Ir Dr Abdul Rahman Omar memaklumkan pihak universiti telah berjaya menghubungi pensyarah wanita itu.
Menurutnya, pensyarah terbabit memaklumkan kepada pihak universiti bahawa kehilangannya ada kaitan dengan isu peribadi.
“Setakat ini, kami sahkan beliau selamat dan berada di satu tempat. Kejadian ini disebabkan isu peribadi dan tidak berkait dengan hal universiti ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini, sebuah keluarga merayu bantuan orang ramai bagi mengesan seorang pensyarah, Haslina Abdullah yang dilaporkan hilang lebih daripada 24 jam.
Menurut ahli keluarga, Haslina berkhidmat sebagai pensyarah di UUCKL, kali terakhir dilihat di Wisma Hong Leong, Jalan Perak, Kuala Lumpur pada Jumaat, 28 Mac lalu.
Laporan polis juga telah dibuat dan pihak keluarga berharap sesiapa yang mempunyai maklumat atau ternampak Haslina dapat segera menghubungi mereka atau pihak berkuasa. - Sinar Harian