KUALA LUMPUR: KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Ketidaktentuan ekonomi global dan persaingan dalam pendidikan tinggi menuntut universiti tempatan mempelbagaikan sumber kewangan serta tidak bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan bagi memastikan kelangsungan dan kecemerlangan institusi.
Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata sokongan kerajaan kekal penting, namun universiti yang bercita-cita besar perlu mempunyai keupayaan membina ekosistem kewangan sendiri secara mampan, berhemat dan berintegriti.
Beliau berkata budaya memberi juga perlu dilihat sebagai strategi institusi dalam memastikan kelangsungan universiti, bukan sekadar amalan kebajikan.
“Kelestarian kewangan adalah tulang belakang kepada kemandirian institusi pendidikan tinggi. Kos operasi terus meningkat, teknologi penyelidikan berkembang pesat manakala persaingan mendapatkan bakat akademik terbaik semakin sengit.
“Pada masa sama, universiti bertanggungjawab memastikan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah tidak tersisih hanya kerana kekangan kewangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Shafry berkata sumber kewangan yang kukuh dan pelbagai membolehkan universiti menawarkan biasiswa, menambah baik kemudahan pembelajaran, membiayai penyelidikan berimpak tinggi serta bertindak lebih tangkas ketika berdepan pemotongan bajet atau krisis ekonomi.
Beliau berkata pengalaman universiti terkemuka dunia seperti Harvard, Yale dan Oxford menunjukkan kepentingan dana endowmen dalam membina daya tahan institusi, dengan sumbangan dilaburkan secara profesional bagi menyokong misi akademik jangka panjang.
Menurut Mohd Shafry, pendekatan itu boleh diperkukuh menerusi penggemblengan tiga instrumen utama iaitu endowmen, zakat dan wakaf bagi membentuk ekosistem kewangan sosial yang inklusif dan mampan.
“Endowmen menyediakan sumber jangka panjang yang dilaburkan untuk menjana pulangan berterusan. Zakat pula disasarkan kepada golongan asnaf termasuk pelajar yang memerlukan supaya kemiskinan tidak menjadi penghalang kepada pendidikan.
“Wakaf, sama ada dalam bentuk tunai atau aset, membolehkan manfaat seperti biasiswa, kolej kediaman, makmal dan pusat penyelidikan dinikmati secara berpanjangan,” katanya.
Mohd Shafry berkata UTM turut menterjemahkan pendekatan itu menerusi Tabung Endowmen UTM dan pelbagai inisiatif zakat serta wakaf bagi menyokong keperluan pelajar prasiswazah dan pascasiswazah, termasuk melalui bantuan kewangan serta penyediaan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
Menurut Mohd Shafry, usaha itu dapat membantu mengurangkan kebergantungan pelajar kepada pembiayaan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atau biasiswa luar, sekali gus memberi mereka lebih ruang untuk menumpukan perhatian kepada pembelajaran, penyelidikan dan pembangunan diri.
“Kita perlu melakukan anjakan paradigma supaya alumni, warga universiti, rakan industri, tokoh korporat dan masyarakat melihat sumbangan kepada universiti bukan sebagai perbelanjaan tetapi pelaburan untuk masa depan negara,” katanya.
Sehubungan dengan itu, UTM menganjurkan Royal Gala Dinner UTM di bawah naungan Canselor UTM sebagai platform untuk mempertemukan dermawan, pemimpin korporat dan alumni dalam usaha menghimpunkan sumbangan kepada Tabung Endowmen UTM.
Mohd Shafry berkata kemandirian universiti abad ke-21 tidak lagi hanya diukur berdasarkan jumlah peruntukan tahunan yang diterima tetapi keupayaan membina kekuatan kewangan sendiri tanpa mengabaikan amanah sosial.
“Inilah legasi yang perlu kita bina, iaitu sebuah universiti yang mandiri, unggul dan terus memberi manfaat kepada negara serta dunia,” katanya.
-- BERNAMA