KUALA LUMPUR: Seramai 1,386 graduan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) menerima ijazah mereka pada Majlis Konvokesyen ke-23 di Kampus Seri Iskandar baru-baru ini.

Ijazah tersebut disampaikan oleh Canselor UTP, Tan Sri Dr Mohd Hassan Marican.

Institusi pengajian tinggi swasta itu mendapat pengiktirafan global dan dinobatkan sebagai universiti terbaik di Malaysia dan institusi swasta terbaik ASEAN oleh Times Higher Education. 

Menurut Mohd Hassan, perancangan universiti untuk mencapai pelbagai kecemerlangan di peringkat global telah dirancang PETRONAS sejak awal penubuhan UTP lagi.

“Ketika dalam perancangan penubuhan UTP, kami sudah mengambil kira peranan universiti di arena global dan mengharapkan 20 peratus  pengambilan pada setiap tahun adalah daripada pelajar luar negara.

“Kami turut menganjurkan program pertukaran pelajar dengan pelbagai universiti di Eropah dan Asia.

"Ia bertujuan mewujudkan nilai rentas budaya (cross culture), yang mana ia dapat memberi pendedahan kepada para pelajar untuk bersama dengan pelajar-pelajar di universiti antarabangsa,” katanya.

Dari kiri: Penerima anugerah khas di Majlis Konvokesyen UTP ke-23, Arina Kho Chiaw Sen, Fatin Fakhira Fahrurazi, Jocelyn Teh Shuang Ru, Amanda Yap Yi Tong dan Amni Haslinda Alpandi.

UTP turut memperbaiki kedudukan bagi hampir kesemua subjek ditawarkan, sekali gus meletakkannya antara universiti terbaik dunia oleh Quacquarelli Symonds (QS) dengan peningkatan sebanyak 82 peratus.

Dalam pada itu, Naib Canselor UTP Professor Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata, UTP sentiasa berusaha melahirkan graduan serba boleh bertaraf global dengan ciri-ciri kelestarian.

“Sememangnya agenda kelestarian ini merupakan antara agenda utama UTP kerana kami sedar ia adalah penting untuk diterapkan kepada para pelajar.

“Ia juga adalah untuk menjadikan mereka seorang warga yang bertanggungjawab apabila keluar daripada UTP nanti,” ujarnya.

Kejayaan di peringkat global UTP dapat dibuktikan melalui pencapaian oleh penerima Anugerah Canselor Emasnya, Jocelyn Teh Shuang Ru.

Kurikulum UTP yang berteraskan industri serta program latihan industri pelajar UTP selama tujuh bulan membentuknya menjadi seorang jurutera yang serba boleh dan bertaraf global.

Sementara itu, sempena majlis konvokesyen itu juga, UTP menganjurkan Pesta Konvokesyen yang diraikan bersama komuniti setempat serta melancarkan tabung kutipan bagi membantu rakyat Palestin.

Universiti Teknologi PETRONAS cemerlang di persada global