GADGETS

Unreal Metahuman Creator hasilkan animasi masa nyata guna kamera web biasa

Amanz 05/06/2025 | 11:25 MYT
Ciri paling menarik ialah keupayaan animasi wajah dan tubuh secara masa nyata menggunakan kamera web biasa tanpa peralatan khas. -Amanz
UNREAL Metahuman Creator diumumkan empat tahun lalu sebagai usaha Epic Games memudahkan studio permainan video menghasilkan watak yang kelihatan realistik.


Ringkasan AI
  • Epic Games mengumumkan kemas kini besar untuk Metahuman Creator yang kini diintegrasikan sepenuhnya ke dalam Unreal Engine 5.6, memudahkan penggunaan aset watak realistik dalam pembangunan permainan dan produksi digital.
  • Kemas kini ini memperkenalkan alat baharu untuk mengubah bentuk tubuh watak secara fleksibel, dengan pakaian yang secara automatik menyesuaikan diri mengikut bentuk badan, menjimatkan masa animator dalam proses pemodelan.
  • Ciri paling menarik ialah keupayaan animasi wajah dan tubuh secara masa nyata menggunakan kamera web biasa tanpa peralatan khas, menggantikan keperluan teknologi mahal seperti Face ID iPhone yang digunakan sebelum ini.


Pelbagai kemas kini telah diberikan sejak pelancaran dengan ia kini digunakan untuk produksi filem, siri TV, animasi dan visual permainan video yang sukar dibezakan dengan dunia sebenar.

Di acara State of Unreal awal pagi tadi, kemas kini Metahuman diumumkan dengan ia kini diintegrasikan sepenuhnya ke dalam Unreal Engine 5.6.

Aset Metahuman lebih mudah digunakan dalam permainan yang menggunakan Unreal Engine selepas ini.

Setelah sekian lama memberikan tumpuan kepada wajah yang nampak realistik, Metahuman dikemas kini dengan alat untuk mengubah bentuk tubuh watak dengan lebih baik.



Pelbagai parameter tubuh boleh diubah mengikut keperluan pengguna dengan pakaian yang ingin digunakan akan secara automatik mengikut ukuran tubuh.

Sebagai animator di universiti dahulu. proses memakaikan baju pada watak 3D tanpa poligon bercantum ialah antara proses yang paling memakan masa.

Dengan ciri baharu ini, juruanimasi dengan artis model 3D boleh menggunakan lebih banyak masa memperhalusi karya dan bukannya menyelesaikan masalah poligon yang bertindan.

Kemas kini paling menarik ialah animasi wajah dan tubuh watak 3D kini boleh dilakukan secara masa nyata menggunakan kamera web biasa.

Pelakon tidak perlu meletakkan titik pada wajah atau memakai gimp suit dengan bebola menjejak pergerakan tubuh.

Dalam demo yang ditunjukkan di atas pentas, animasi masa nyata yang terhasil dapat dihasilkan dengan lengah masa sekitar beberapa mili saat sahaja.

Dua tahun lalu, untuk demo Metahuman yang digunakan dalam permainan video Senua’s Saga, kamera Face ID pada iPhone yang mengimbas wajah secara 3D diperlukan untuk menghasilkan animasi yang sama. -Amanz











#Epic Games #Metahuman Creator #Unreal Engine #watak kelihatan realistik