Upah lumayan antara faktor rakyat tempatan dikesan menjadi penyeludup membawa masuk beberapa barangan bersubsidi seperti minyak masak dan ketum ke Thailand.

Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Zahari Ahmad berkata disebabkan mereka mahir dengan kawasan sekitar memudahkan mereka untuk keluar masuk menyeludup barangan.

"Selain menerima upah yang mahal, barangan bersubsidi sangat mahal harganya di pasaran negara jiran, sebab itu mereka sanggup menggadai nyawa menjadi penyeludup demi mengejar keuntungan," katanya pada sidang akhbar di Markas Taktikal PGA di sini, hari ini.

Zahari berkata namun begitu pihaknya bersama agensi yang bertugas di sempadan tidak leka dalam tanggungjawab mereka membanteras isu penyeludupan rentas sempadan itu.

Katanya PGA melalui unit risikan sentiasa memantau pergerakan keluar masuk sempadan dan akan segera bertindak apabila mendapat maklumat.

Beliau berkata, pada September dan Oktober lalu pihaknya berjaya merampas pelbagai barangan seperti daging beku, minyak petrol, rokok, arak dan ketum di sepanjang sempadan Perlis dan Kedah yang dianggarkan bernilai RM316,963.

Katanya sejak 6 Nov sehingga semalam, PGA berjaya merampas ketum, minyak masak dan tepung gandum membabitkan 17 kes dengan nilai RM324,326.

"Turut dirampas dalam tempoh September hingga semalam ialah 22 kenderaan pelbagai jenis," katanya.

Zahari berkata 32 individu ditahan terbabit dalam semua kegiatan penyeludupan itu. -- BERNAMA