BINTULU: Universiti Putra Malaysia (UPM) bakal menubuhkan Fakulti Veterinar dan Penternakan di Kampus Bintulu tidak lama lagi, titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sultan Sharafuddin yang juga Canselor UPM bertitah, penubuhan fakulti itu bagi mengukuhkan agenda pertanian dan keterjaminan makanan.

"Penubuhan fakulti ini adalah hasil usaha sama dengan Jabatan Veterinar Sarawak di bawah Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak. Syabas beta ucapkan," titah baginda semasa Majlis Konvokesyen UPM ke-47 Sidang 1 di Dewan Sri Kenyalang Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), di sini, pada Sabtu.

Baginda bertitah, UPMKB telah banyak mengadakan kerjasama strategik dalam bidang penyelidikan bersama agensi kerajaan dan industri dan setakat Oktober tahun ini kampus berkenaan telah menerima geran penyelidikan sebanyak RM1.27 juta daripada agensi kerajaan dan swasta.

Sultan Sharafuddin juga melahirkan rasa bangga baginda kerana kerajaan Sarawak bukan hanya amat berkeyakinan untuk meneruskan Kursi Penyelidikan Tok Nan di UPMKB hingga 2027 tetapi juga mewujudkan satu lagi kursi iaitu Kursi PUSAKA-UPM dalam bidang penyelidikan dan pembangunan pengurusan hutan tropika dan hutan tanam, keselamatan makanan serta tenaga diperbaharui.

"Beta juga berbangga dengan kerjasama antara UPM bersama Pejabat Premier Sarawak dalam Projek Transformasi Penanaman Padi AgriHub@Gedong yang pada hemat beta adalah projek yang mampu memberi impak kepada keterjaminan makanan Malaysia khususnya Sarawak dalam peningkatan hasil beras tempatan," titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut berterima kasih kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana sentiasa memberi sokongan dan kepercayaan kepada UPMKB dalam jalinan kerjasama bersama-sama kerajaan negeri untuk membangunkan Sarawak ke arah Negeri Maju 2030.

UPMKB telah melahirkan 8,413 graduan sejak pembukaan kampus itu pada 2001.

Sultan Sharafuddin berharap graduan dapat terus menghayati prinsip kelima Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan dengan berhemah ketika berkomunikasi khususnya menerusi media sosial.

Baginda mengingatkan mereka agar tidak memberi komen keterlaluan dan mengeluarkan ayat berunsur fitnah, cacian dan hasad dengki terutamanya melibatkan isu 3R iaitu institusi diraja, agama dan kaum kerana jika berlaku ia boleh merosakkan pemikiran masyarakat.

Seramai 487 graduan terdiri daripada sembilan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Ijazah Sarjana (12), Bacelor (84) dan Diploma (382) menerima ijazah dan diploma masing-masing dalam pelbagai program pengajian.
- BERNAMA