KUANTAN: Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) menumpaskan kegiatan perlombongan bahan mineral dipercayai bauksit tanpa lesen atau pajakan yang sah di lokasi berdekatan KotaSAS, dekat sini, pada Khamis.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, berdasarkan maklumat, sepasukan lapan anggota Pasukan Elit UPNP yang sedang melakukan rondaan di sekitar daerah Kuantan ternampak aktiviti berkenaan pada jam 2.15 petang.

"Anggota UPNP kemudiannya telah melakukan intipan dan melihat aktiviti perlombongan itu dengan menggunakan dua buah jengkaut dan tiga buah lori tipper sebelum serbuan dilakukan.

"Pegawai Penguatkuasa UPNP kemudiannya meminta pengusaha lombong itu mengemukakan sebarang kelulusan bagi aktiviti memunggah bahan mineral tersebut, namun gagal," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, Pegawai Penguatkuasa UPNP kemudiannya bertindak menahan enam lelaki serta menyita dua buah jengkaut dan tiga buah lori tipper di lokasi kejadian.

"Kes ini kemudiannya disiasat di bawah Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001.

"Kita ingin menegaskan kerajaan negeri sentiasa melaksanakan penguatkuasaan terhadap sebarang aktiviti penerokaan tanah secara tidak sah atau apa juga aktiviti yang menyalahi peraturan yang ditetapkan," jelasnya.