[LAPOR LANGSUNG] 9 Aktivis Malaysia Pulang dari Misi Gaza – Ikuti Ketibaan Mereka di KLIA Sekarang!
MALAYSIA

UPSI lokasi pertama latihan PLKN peringkat IPTA

Bernama 12/10/2025 | 08:45 MYT
Ya'cob (tiga, kanan) beramah mesra dengan pelatih PLKN pada Latihan Menembak Pelatih Wanita PLKN 3.0 di Lapang Sasar Kem Sungai Besi hari ini. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi universiti pertama melaksanakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bermula pertengahan tahun hadapan, menjadikannya institusi pengajian tinggi awam (IPTA) perintis bagi pelaksanaan latihan di kampus.


Ringkasan AI
  • Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menjadi IPTA pertama melaksanakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bermula pertengahan 2026, sebagai perintis kepada pelaksanaan latihan di kampus sebelum diperluaskan ke politeknik dan Institut Pendidikan Guru.
  • PLKN 3.0 akan dijadikan mata pelajaran wajib bagi pelajar baharu IPTA yang lahir selepas 2008, melibatkan modul kenegaraan, kepimpinan dan asas ketenteraan, kecuali bagi pelajar yang telah mengikuti program berkaitan ketenteraan.
  • Sebanyak 11 kem PLKN akan beroperasi di seluruh negara tahun hadapan termasuk kem baharu di Gemas, Negeri Sembilan, dengan pelatih berumur 17 hingga 25 tahun dipilih melalui sistem komputer atau secara sukarela.


Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara Mej Jen (B) Datuk Ya'cob Samiran berkata program itu akan diperluaskan ke masing-masing tiga politeknik dan Institut Pendidikan Guru seluruh negara pada tahun depan.

Beliau berkata pelaksanaan program itu susulan peruntukan RM250 juta melalui Belanjawan 2026 bagi program rintis pada peringkat pendidikan tinggi sebelum diperluaskan ke semua IPTA pada 2027.

"Kita akan mulakan di UPSI tahun depan mungkin pada Jun atau Julai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Latihan Menembak Pelatih Wanita PLKN 3.0 Siri 3/2025 di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.

Ya'cob berkata modul latihan PLKN juga akan dijadikan mata pelajaran wajib pelajar baharu di IPTA.

"Pelajar universiti dengan pengambilan bermula tahun hadapan atau lahir selepas 2008 wajib menjalani latihan ini sebagai sebahagian daripada mata pelajaran wajib, terutamanya subjek kenegaraan.

"Namun bagi pelajar yang sudah mengikuti program seperti Pasukan Latihan Pegawai Simpanan atau program berkaitan ketenteraan lain, mereka tidak perlu mengambil modul latihan asas ketenteraan," katanya.

Ya'cob berkata, PLKN 3.0 memberi tumpuan kepada tiga modul melibatkan kenegaraan, kepimpinan dan asas ketenteraan bagi membentuk jati diri serta semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.

"Modul kali ini menekankan semangat kenegaraan, kepimpinan dan asas ketenteraan supaya pelatih memahami peranan mereka sebagai warganegara yang bertanggungjawab.

"Siri pertama PLKN 3.0 bagi 2026 bermula Januari hingga awal Mac melibatkan pelatih berumur antara 17 hingga 25 tahun dipilih melalui sistem komputer (balloting) atau secara sukarela," katanya.

Selain itu, beliau berkata 11 kem PLKN akan beroperasi di seluruh negara tahun hadapan termasuk kem baharu di Kem Syed Sirajuddin Gemas, Negeri Sembilan manakala dua lagi pada 2027.

-- BERNAMA


#UPSI #plkn #ipta #Ya'cob Samiran