MALAYSIA

UPSI terima 4,063 pelajar baharu ijazah sarjana muda

Bernama 28/09/2025 | 14:57 MYT
Kehadiran pelajar baharu itu membuktikan keyakinan masyarakat terhadap UPSI sebagai universiti pendidikan unggul negara. - Foto: UPSI
IPOH: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima sebanyak 4,063 pelajar baharu bagi program ijazah sarjana muda ambilan September 2025/2026, dengan sesi pendaftaran berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata kehadiran pelajar baharu itu membuktikan keyakinan masyarakat terhadap UPSI sebagai universiti pendidikan unggul negara.

Beliau berkata UPSI bukan sahaja sebuah institusi penyampaian ilmu, tetapi juga tempat membina peribadi dan sahsiah yang menjadi pilihan pelajar melanjutkan pelajaran.

"Kehadiran pelajar dari seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, menjadikan suasana pendaftaran meriah dengan sokongan keluarga yang hadir menemani anak masing-masing.

"Proses pendaftaran yang bermula seawal 7.30 pagi berjalan lancar dengan kerjasama 180 sukarelawan Rakan Minggu Intelektual dan Interaksi Anak Kandung Suluh Budiman (MILLENIA) bersama Bahagian Keselamatan UPSI," katanya dalam kenyataan hari ini.

Md Amin berkata legasi Suluh Budiman yang menjadi tunjang UPSI perlu terus dipelihara oleh setiap generasi mahasiswa.

"Sebagai bakal pendidik, mahasiswa perlu menyeimbangkan kecemerlangan akademik dengan adab dan akhlak kerana itulah cerminan sebenar seorang insan," katanya.

Turut hadir pada sesi pendaftaran itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin bersama barisan pengurusan universiti termasuk Timbalan Pendaftar Kanan Maskana Ahmad, pengetua kolej kediaman dan kakitangan.

Menurut kenyataan itu, pelajar baharu dijadual mengikuti Minggu Orientasi pada 29 dan 30 Sept ini yang bertujuan memperkenalkan budaya universiti, ekosistem akademik dan kehidupan kampus selain membina jaringan persahabatan sesama mahasiswa.

-- BERNAMA

#pelajar baharu #UPSI #Ijazah Sarjana Muda #institusi pendidikan tinggi