PUTRAJAYA: Rata-rata pihak berkepentingan menyatakan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) belum sesuai dikembalikan kerana ia menyekat peluang pelajar aktif dalam bidang selain akademik, menurut dapatan awal siri libat urus Kementerian Pendidikan (KPM).

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali berkata dapatan awal yang diperoleh menerusi sesi libat urus KPM menunjukkan masyarakat menginginkan pendidikan berasaskan nilai dijadikan keutamaan.

"Bila kita turun libat urus, kita tanya pelajar, guru, ibu bapa dan pemimpin. Rata-rata menyatakan UPSR ini belum sesuai kerana kita sekat keupayaan pelajar di peringkat rendah untuk aktif dalam bidang lain kerana kita fokus kepada akademik," katanya kepada selepas program Bicara Inspirasi KPM di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa mengulas isu pemansuhan UPSR yang mengundang pelbagai respons masyarakat, dan pada 28 Okt lepas Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilaporkan berkata KPM bertegas tidak akan mengembalikan semula UPSR walaupun ada permintaan khususnya ibu bapa yang mahu ia dikembalikan sebagai penanda aras pencapaian anak-anak mereka di peringkat sekolah rendah.

Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk memansuhkan sepenuhnya UPSR bermula 2021 selepas hasil libat urus dengan pelbagai pihak sejak peperiksaan berkenaan dibatalkan susulan pandemik COVID-19.

Menerusi konsep "Anak Yang Baik lagi Cerdik" (ABC) bagi mendidik modal insan berilmu dan berakhlak mulia, Pkharuddin berkata pembinaan karakter dan nilai moral dalam diri pelajar sejak peringkat awal persekolahan adalah lebih utama bagi melahirkan golongan yang mampu berdepan cabaran dunia tanpa sempadan.

"Kita bukan kata peperiksaan itu tidak baik, tetapi pada saat ini, membina karakter dan memasukkan nilai dalam diri pelajar itu lebih utama dalam cabaran semasa.

Dengan dunia tanpa sempadan, dengan gajet di tangan yang mana mereka boleh belajar dengan cepat, tetapi nilai itu tiada dalam diri mereka," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau yang akan bersara wajib pada 6 Nov ini menitipkan nasihat kepada warga pendidik agar sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik dalam mendidik pelajar selain mencuba sedaya upaya mengetengahkan potensi anak didik mereka bukan sahaja dalam akademik malah dalam aktiviti lain.

-- BERNAMA