Skip to main content

Malaysia

URIIS 2026 sasar percepat pengkomersialan inovasi universiti

URIIS, JPT, UKM
URIIS 2026 berperanan sebagai platform yang menghubungkan hasil penyelidikan universiti dengan keperluan sebenar industri serta peluang pelaburan.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak Pelaburan Penyelidikan dan Inovasi Universiti (URIIS) 2026 yang bakal berlangsung September ini dianjurkan bagi mempercepat pengkomersialan hasil penyelidikan institusi pengajian tinggi menerusi kerjasama strategik antara universiti, industri dan pelabur.
 
Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hubungan Industri, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Raymond Teoh Joo Han berkata, URIIS 2026 berperanan sebagai platform yang menghubungkan hasil penyelidikan universiti dengan keperluan sebenar industri serta peluang pelaburan.
 
Menurutnya, banyak penyelidikan dan inovasi berkualiti dihasilkan universiti tempatan, namun memerlukan akses kepada rakan industri dan pelabur bagi membolehkan teknologi tersebut dibangunkan serta dibawa ke pasaran.
 
“URIIS menjadi jambatan yang mempertemukan universiti, industri dan pelabur supaya lebih banyak inovasi tempatan dapat dikembangkan serta memberi impak kepada ekonomi dan masyarakat,” katanya.
 
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Shamsul Bahri Md Tamrin berkata, antara cabaran utama sektor penyelidikan adalah memastikan inovasi yang dibangunkan tidak terhenti di peringkat makmal.
 
Beliau berkata, penyelidik memerlukan sokongan industri, akses pembiayaan dan peluang pasaran bagi membolehkan sesuatu teknologi berkembang ke peringkat komersial.
 
“URIIS menyediakan ruang untuk semua pihak bertemu, membina jaringan dan mempercepat proses pengkomersialan hasil penyelidikan tempatan,” katanya.
 
URIIS 2026 akan mengetengahkan pelbagai bidang strategik termasuk kecerdasan buatan (AI), robotik, semikonduktor, teknologi pertanian, bioteknologi, teknologi kesihatan, tenaga hijau, Halal Tech, EdTech, bandar pintar, mobiliti termaju dan aeroangkasa.
 
Sepanjang tiga hari penganjuran, peserta akan disajikan dengan pelbagai pengisian termasuk sesi ucaptama, dialog pelaburan universiti-industri, sesi pitching, rundingan perniagaan (B2B), pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA), serta pameran inovasi.
 
URIIS 2026 dijadual berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) dari 21 hingga 23 September 2026, melibatkan penyertaan universiti, syarikat korporat, pelabur, usahawan teknologi, agensi kerajaan dan komuniti inovasi negara.

 

Must Watch Video

Advertisement