URUS program komprehensif bantu peminjam B50 terjejas - PM

Astro Awani
Oktober 13, 2021 11:51 MYT
Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) oleh sektor perbankan bagi membantu kumpulan 50 peratus terbawah atau B50. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) oleh sektor perbankan bagi membantu kumpulan 50 peratus terbawah atau B50.
URUS merupakan program sokongan bantuan bayaran balik pinjaman yang komprehensif dan akan ditawarkan kepada pelanggan B50 yang terjejas.
Selain itu, ia turut merangkumi peminjam yang berada dalam kategori isi rumah B40, iaitu mereka yang berpendapatan kasar (gross household income) kurang dari RM5,880 sebulan.
Antara kemudahan yang ditawarkan ialah pengecualian faedah untuk tiga bulan, pengurangan bayaran ansuran untuk tempoh sehingga 24 bulan, termasuk pengurangan kadar faedah.
"Dalam tempoh ini, pelanggan dengan pinjaman atau pembiayaan dan kad kredit peribadi tanpa jaminan juga boleh mendapat manfaat daripada kadar faedah yang dikurangkan bagi membantu meringankan beban kewangan mereka," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Perdana Menteri lagi, program ini telah dirangka oleh sektor perbankan bersama-sama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan butiran selanjutnya mengenainya akan diperincikan oleh Kementerian Kewangan.
"Inisiatif oleh sektor perbankan jelas mencerminkan semangat Keluarga Malaysia dan
melengkapkan usaha Kerajaan untuk membantu golongan peminjam B50 yang sebelum ini telah pun mendapat manfaat dari program moratorium yang diumumkan di bawah pakej-pakej bantuan dan rangsangan Kerajaan sejak Mac 2020," kata beliau lagi.
#ismail sabri yaakob #Perdana Menteri #urus #B50