KUALA LUMPUR: Semua Jawatankuasa Kariah Masjid perlu memastikan sumber kewangan yang dimiliki diuruskan dengan penuh amanah dan berintegriti, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau berkata setiap sumber kewangan dimiliki masjid dan surau merupakan amanah orang awam terutamanya anak-anak kariah menerusi hasil sumbangan dana dan derma.

"Ia mestilah dibelanja dan diuruskan mengikut peraturan dan kaedah yang telah ditetapkan supaya dapat mengelakkan daripada berlakunya kes salah guna kuasa dan ketirisan.

"Kita tidak mahu dalam laporan berita, ada pegawai atau jawatankuasa masjid dibawa ke muka pengadilan atas tuduhan penyelewengan dan salah guna kuasa yang tentunya akan mencalarkan imej institusi yang sepatutnya menjadi contoh pengurusan kewangan yang berintegriti," katanya.

Mohd Na'im berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Hakimah Mohd Yusoff semasa merasmikan penutupan program Pembanterasan Rasuah Komuniti Masjid Bersama Persatuan Ulama Malaysia di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Mohd Ajib Ismail.

Sementara itu, Norazlan berkata SPRM telah membuka sebanyak 15 Kertas Penyiasatan Tatakelola melibatkan institusi keagamaan Islam di Malaysia sejak 2018 hingga Oktober lepas.

Beliau berkata siasatan berkenaan dibuat ke atas aspek tatakelola yang boleh membuka ruang berlakunya salah laku rasuah selain siasatan berkait kesalahan rasuah.

"Risiko terbesar institusi masjid dalam pengurusan kewangan ialah salah laku rasuah, percanggahan kepentingan, salah guna kuasa dan penyelewengan.

"Selain membuka Kertas Penyiasatan Tatakelola, SPRM juga telah mencadangkan sebanyak 64 pelbagai syor penambahbaikan ke atas prosedur kerja, garis panduan serta peraturan kepada intitusi terbabit," katanya.

Norazlan berkata program pada hari ini juga telah menyaksikan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) ketujuh melibatkan institusi masjid dilaksanakan SPRM sejak ia diperkenalkan pada 10 Jan 2017.

Keseluruhannya, sebanyak 2,038 agensi terdiri daripada pelbagai kementerian, jabatan, badan berkanun, agensi-agensi pendidikan, syarikat-syarikat berkepentingan kerajaan, syarikat-syarikat swasta, pertubuhan, badan bukan kerajaan, institusi kewangan, institusi keagamaan dan lain-lain telah melaksanakan IBR.

-- BERNAMA