Urusan jabatan kerajaan tidak terjejas - SUK Melaka

Shuhada Abdul Kadir
Oktober 5, 2021 10:51 MYT
Kamel memberi komitmen untuk memastikan setiap jabatan kerajaan itu sama ada kerajaan negeri atau persekutuan akan berjalan seperti biasa. - Foto Astro AWANI
MELAKA: Urusan pentadbiran kerajaan negeri Melaka tidak akan terjejas susulan pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu hari ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad berkata, beliau memberi komitmen untuk memastikan setiap jabatan kerajaan itu sama ada kerajaan negeri atau persekutuan akan berjalan seperti biasa.
“Dalam konteks pentadbiran perkhidmatan, saya akan pastikan sistem penyampaian berjalan dengan lancar terutamanya yang melibatkan kesejahteraan rakyat dan ekonomi Melaka.
“Speaker DUN juga telah maklumkan kita akan teruskan sebagai kerajaan ‘caretaker’, jadi saya beri komitmen untuk terus memantau.
“Mesyuarat dengan ketua-ketua jabatan juga kita telah lakukan serta-merta supaya semua jabatan faham apa peranan masing-masing,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Pilihan Raya Negeri | DUN Melaka dibubarkan - Speaker DUN
Terdahulu, DUN Melaka terpaksa dibubarkan selepas mendapat persetujuan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.
Berdasarkan Perkara 19 (4) Perlembagaan Negeri Melaka, apabila DUN dibubarkan, satu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari.
#politik melaka #DUN Melaka bubar #SUK Melaka #Kamel Mohamad