Seramai 10 wanita warga asing diberkas dalam serbuan ke sebuah pusat urut di Jalan Tahwil Azhar di sini yang dipercayai turut menawarkan khidmat seks.

Pengarah Imigresen Perak, Kamaluddin Ismail berkata, pusat urut itu diserbu sepasukan enam pegawai penguatkuasa Imigresen dalam Ops Bersepadu di pada Sabtu, hasil maklumat orang awam.

Menurut beliau, operasi dilaksanakan sekitar jam 3.40 petang dan berakhir jam 6.50 petang.

“Seramai 22 orang telah diperiksa terdiri daripada pelbagai warganegara dan daripada jumlah tersebut, 17 orang telah ditahan melibatkan seorang lelaki warganegara Bangladesh, dua lelaki warganegara Myanmar yang merupakan pekerja di premis tersebut, empat wanita warganegara Thailand dan enam wanita warganegara Vietnam,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Turut ditahan ialah empat orang pekerja dan majikan yang merupakan rakyat Malaysia.

Menurut Kamaluddin, kesemua yang ditahan berumur dalam lingkungan 19 hingga 49 tahun.

“Bedasarkan maklumat awal yang diterima, wanita-wanita ini disyaki bekerja sebagai pelayan di pusat urut tersebut.

“Ketika serbuan dibuat, mereka sedang asyik melayan pelanggan tempatan tanpa menyedari kehadiran pegawai operasi,” ujarnya.

Beliau memberitahu, antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah urutan dan khidmat seks dengan bayaran dikenakan RM188 untuk 45 minit dan RM208 untuk sejam.

Katanya, waktu operasi pusat urutan tersebut adalah bermula dari jam 11.00 pagi hingga 2.00 pagi.

Kamaluddin berkata, siasatan awal mendapati mereka yang ditahan telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah serta Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing tanpa pas yang sah.

“Mereka ditahan di bawah Seksyen 51(5)(d) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Imigresen Langkap,” tambahnya.