KUALA LUMPUR: Ketika banyak negara di seluruh dunia terjejas dengan krisis tenaga global, Malaysia bernasib baik kerana masih dapat bergantung kepada gas asli bagi sektor penjanaan kuasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan sentiasa mengambil langkah yang sewajarnya untuk memastikan keselamatan sumber tenaga berterusan sekali gus memastikan bekalan elektrik kekal tidak terganggu dan operasi sektor kritikal berjalan lancar.

"Mulai 2014, kerajaan mula mengambil langkah untuk memperbaharui pasaran gas secara beransur-ansur dengan membawa harga gas kepada pariti pasaran dan membuka akses kepada pihak ketiga.

"Liberalisasi pasaran gas adalah penting dalam membentuk perkembangan menggalakkan yang akan menyumbang ke arah menjadikan pasaran gas lebih berdaya saing dan memastikan keselamatan bekalan.

"Industri gas Malaysia telah menyumbang kepada kesejahteraan sosio-ekonomi keseluruhan Malaysia melalui penciptaan peluang pekerjaan yang berkualiti, menyokong pengeluaran ekonomi, meningkatkan perdagangan luar dan menjadikan rakyat tempatan sebagai pemain dalam perdagangan global," katanya dalam ucapan perasmian Malaysian Gas Symposium (MyGAS 2021) yang dianjurkan Malaysian Gas Association (MGA), pada Isnin.

Turut hadir ialah Presiden MGA, Abdul Aziz Othman.

Tambahnya, polisi yang dilaksanakan kerajaan berjaya mengelakkan negara dari berdepan krisis seperti yang dilalui banyak negara Eropah.

"Kesediaan pembeli Asia untuk membayar premium dan mengatasi tawaran lain telah menarik bekalan LNG dari Eropah, menyebabkan krisis tenaga di benua itu.

"Ketidakupayaan tenaga boleh diperbaharui berjeda untuk membekalkan sumber elektrik yang boleh dipercayai telah memberi tekanan kepada bekalan bahan api fosil, menyebabkan harga komoditi tenaga meningkat, yang seterusnya meningkatkan harga elektrik di Eropah.

"Terima kasih kepada dasar yang kerajaan telah sediakan, Malaysia tidak menghadapi krisis tenaga seperti yang dialami di Eropah. Kerajaan melalui Unit Perancang Ekonomi, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli serta agensi seperti PETRONAS, Suruhanjaya Tenaga dan Tenaga Nasional Berhad sentiasa mengambil langkah yang sewajarnya bagi memastikan keselamatan tenaga berterusan untuk negara kita," ujarnya.

Forum yang akan berlangsung secara maya sehingga 25 November ini, menghimpunkan penggubal dasar dan pakar tenaga untuk membincangkan peranan semasa dan masa hadapan gas asli dalam konteks keselamatan tenaga untuk Malaysia, serta trajektori sosioekonominya dalam mempercepatkan peralihan tenaga negara ke arah neutraliti karbon seawal 2050.

Terima kasih kepada dasar yang kerajaan telah sediakan, Malaysia tidak menghadapi krisis tenaga seperti yang dialami di Eropah.